ULASAN CERPEN ISRAK : ERDA ROSLAN KHAIRY
A. Sinopsis
Cerpen ini mengisahkan seorang lelaki bernama Adam yang membawa isterinya,Siti Hawa,dan dua orang anaknya iaitu Israk dan Mikraj ke rumah ibunya di Kampung Sayong tidak jauh dari Sungai Perak. Isteri Adam menyedari bahawa anak-anaknya agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan suasana kampung terutamanya Israk.Hal ini disebabkan mereka menetap agak lama di Perth dan anak-anak mereka dibesarkan di sana. Mereka sekeluarga cuba belajar menyesuaikan diri dengan suasana dan kehidupan kampung yang serba kekurangan. Israk tidak mahu mencuba makan buah durian,jering dan tempoyak. Israk juga menunjukkan kebenciannya tinggal di rumah neneknya,Wah yang serba kekurangan itu berbanding dengan rumahnya di bandar. Kekurangan yang terdapat di rumah Wah menyebabkan Israk sentiasa berselisih pendapat dengan adiknya,Mikraj. Hal ini disedari oleh Wah dan Wah menasihati mereka berdua agar tidak seperti anjing dengan kucing. Pada 4 Oktober yang lalu,beberapa orang dari Majlis Daerah datang ke rumah Wah untuk membeli rumah Wah yang akan dijadikan sebagai pusat pelancongan,tetapi Wah dengan bantuan Lebai Saleh telah menolak tawaran itu dengan baik.
Pada suatu pagi,bekalan air paip di rumah Wah telah terputus menyebabkan Mikraj telah menyuruh Israk mandi di sungai. Malangnya,ketika melalui rimbunan semak untuk ke sungai,Israk telah terjatuh ke dalam sungai. Wah dengan pantas menghulurkan sebatang kayu kepada Israk. Pada ketika itu Israk hanya berpaut pada tali sauh yang sudah reput. Israk terselamat namun kakinya berdarah. Pada malam itu,Israk lambat keluar dari biliknya. Apabila dia keluar,semua orang terkejut apabila melihat dia memakai baju Melayu namun Israk bersikap selamba sahaja. Mereka semakin terkejut apabila Israk meminta jering dan tempoyak daripada ibunya.
B. TEMA DAN PERSOALAN
Tema
Cerpen ini bertemakan perasaan tidak selesa warga kota terhadap suasana dan kehidupan di kampung. Sebagai contoh,Israk berasa tidak selesa tinggal di kampung neneknya yang serba kekurangan berbanding keadaan di kota yang lengkap segala-galanya.
Persoalan:
a) Merapatkan hubungan yang telah terputus
Contohnya, Adam membawa isteri dan kedua-dua anaknya ke kampung supaya silaturahim dengan neneknya Wah tidak putus.
b) Sikap adik-beradik yang tidak sehaluan.
Contohnya, Israk dan adiknya Mikraj tidak sependapat menyebabkan mereka sering bertengkar.
c) Pengalaman dapat mengubah sikap seseorang
Contohnya, Israk akhirnya mengubah sikapnya dengan makan jering dan tempoyak apabila menyedari kebaikan neneknya yang sanggup menyelamatkannya.
d) Ketabahan hati dalam menempuh cabaran hidup
Contohnya,Wah begitu tabah membesarkan Adam walaupun tanpa suami di sisi.
C. PLOT
Semua peristiwa dalam cerpen ini tidak disusun secara kronologi. Terdapat imbas kembali sejarah hidup Wah yang berkahwin dengan suaminya,Firdaus Frank sehinggalah peristiwa kedatangan orang-orang dari Majlis Daerah untuk membeli rumah Wah untuk dijadikan pusat pelancongan.
a) Cerita dimulakan dengan kedatangan Adam bersama-sama isteri dan kedua-dua orang anaknya,Israk dan Mikraj ke rumah Wah di Kampung Sayong.
b) Pada pertengahan cerita, berlaku konflik antara Israk yang tidak mampu menyesuaikan diri di kampung dengan adiknya Mikraj yang boleh menerima keadaan kampung dan corak hidup masyarakat kampung.
c) Plot mencapai klimaks ketika Israk terjatuh ke dalam sungai dan Wah pula berusaha untuk menyelamatkan cucunya,dengan menghulurkan sebatang kayu kepada Israk.
d) Pada peringkat peleraian,Israk berjaya diselamatkan. Pada ketika itu,Israk telah mula menyedari akan pengorbanan seorang nenek yang tinggal di kampung. Dia mula mengubah sikapnya dengan memakai baju Melayu dan ingin makan jering dan tempoyak.
D. WATAK DAN PERWATAKAN
a) Wah
- Ibu kepada Adam dan nenek kepada Israk dan Mikraj
- Sudah tua dan tinggal bersendirian di kampung.
- Seorang wanita yang tabah menempuh dugaan membesarkan anaknya walaupun tanpa suami di sisi.
- Berpegang teguh pada amanah arwah ibunya dan tidak mahu menjualkan rumah itu kepada Majlis Daerah.
- Tidak mudah berkecil hati dengan sikap cucunya Israk yang seolah-olah menghina cara hidup di kampung.
- Berusaha untuk menyelamatkan cucunya yang terjatuh
ke dalam sungai.
b) Israk
- anak Adam dan cucu kepada Wah
- Berlagak sombong dan suka bermain gitar.
- Tidak menghormati orang yang lebih tua.Sebagai contoh,dia menepis tangan Wah apabila Wah mengusap kepalanya.
- Mementingkan diri dan tidak mempedulikan perasaan orang lain.
- Berubah sikap setelah diselamatkan oleh Wah.
c) Mikraj
- Adik kepada Israk.
- Mudah menyesuaikan diri dengan keadaan kampung.
- Meminati seni sastera.
- Suka menegur sikap abangnya yang tidak suka hidup di kampung.
E. LATAR
a) Latar tempat:
- Rumah Wah di Kampung Sayong.
- Sungai,tempat Wah menyelamatkan Israk yang terjatuh ke dalam sungai.
b) Latar masa:
- Masa sekarang,siang dan awal pagi.
c) Latar masyarakat:
- Masyarakat kampung yang sedar akan asal usulnya.
Contohnya, Adam membawa pulang isteri dan anak-anaknya untuk bertemu dengan Wah.
- Masyarakat bandar yang memperlekeh kehidupan di
Kampung.Contohnya,Israk yang tidak suka makan durian,jering dan tempoyak.
- Masyarakat bandar yang suka akan kehidupan di
kampung.Contohnya,Mikraj suka tinggal di kampung dan menasihati abangnya agar mencintai suasana kampung.
F. GAYA BAHASA
a) Bahasa Inggeris : Contohnya, youghurt
b) Bahasa Arab : Contohnya,Wallahualam,al-Maidah
c) Sinkope : Contohnya,tak,nak,aje,ni
d) Hiperbola : Contohnya,Wah berasa rendah diri serendah
mutiara di lautan
e) Simile : Contohnya, Dia bagaikan gunung berapi
pendam,airnya pula macam air Sungai Kelang
laksana seorang primadona
f) Personifikasi : Contohnya,langsir menjilat lantai kayu merbau
g) Metafora : Contohnya, pucuk hati
h) Perumpamaan : Contohnya,carik-carik bulu ayam bercantum jua
akhirnya, macam anjing dengan kucing
i) Kata ganda : Contohnya, dalam-dalam,akhir-akhir,cucu-cucu
G. SUDUT PANDANGAN
- Pengarang menggunakan sudut pandangan orang ketiga
ketika menyampaikan cerita.
- Pengarang berada di luar lingkungan cerita.
- Pengarang tidak menumpukan cerita pada watak Wah semata-mata tetapi dia juga menggambarkan watak Israk dan Mikraj dengan terperinci.
H. NILAI
a)Kasih sayang : Contohnya,Wah sangat menyayangi anak
dan cucu-cucunya.
b)Tabah : Contohnya,Wah tabah menghadapi ujian
ketika dia mengandungkan Adam
sehinggalah suaminya meninggal dunia.
c) Pengorbanan :Contohnya,Wah sanggup memberanikan
diri menyelamatkan Israk yang terjatuh
ke dalam sungai.
d) Kesabaran : Contohnya,Wah sentiasa sabar
menghadapi kerenah Israk.
e) Bersyukur : Contohnya, Adam bersyukur dengan
segala limpah rezeki yang dikurniakan
Tuhan.
f) Menghormati : Contohnya,Mikraj amat menghormati Wah.
orang tua
g) Keberanian : Contohnya,Wah begitu berani menyelamat-
kan nyawa Israk dengan menghulurkan
sebatang kayu.
I. PENGAJARAN
a) Kita mestilah menghargai makanan tradisional.
b) Adik-beradik hendaklah berbaik-baik antara satu sama lain.
c) Kita mestilah menghormati orang tua.
d) Kita hendaklah bijak menyesuaikan diri di tempat baru.
e) Kita hendaklah bersabar menghadapi cabaran hidup.
f) Kita mestilah menyayangi ibu kita yang telah membesarkan kita.
g) Janganlah kita lupa akan asal-usul kita.
h) Janganlah kita bersikap bodoh sombong.
0 comments:
Post a Comment