09:26

Ciri-ciri Remaja Berilmu


“Jika kita ingin melihat dunia pada masa hadapan, lihatlah pemuda-pemudinya yang hidup pada hari ini”. Demikianlah pepatah Arab yang mengetengahkan betapa besarnya peranan remaja pada masa ini. Adakah remaja  pada hari ini hebat-hebat belaka sehingga dipertanggungjawabkan sedemikian? Sejauh manakah ilmu seseorang remaja itu untuk mendominasi masa hadapan yang cemerlang, gemilang dan terbilang? Di sinilah terletaknya martabat ilmu yang sangat tinggi nilainya untuk dimiliki oleh seseorang remaja. Namun, apakah langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk menjadi remaja yang berilmu?

Pertama, remaja tersebut hendaklah mempunyai kerajinan yang tinggi agar tidak alpa dalam kehidupan materialistik masa ini. Kerajinan yang dimaksudkan ialah kerajinan yang menjurus kepada ketekunan remaja tersebut untuk mengulang kaji pelajaran, membuat latihan kendiri, dan menyiapkan kerja sekolah yang telah dibekalkan oleh guru mereka. Ketelitian dan kesabaran dalam menyelesaikan tugasan yang diberi perlu dititikberatkan supaya seseorang itu dapat melatih diri untuk menulis jawapan yang betul dan padat. Latihan secara berperingkat-peringkat perlu dipantau oleh ibu bapa atau guru-guru mereka secara aktif.

Seterusnya, seseorang remaja perlulah bijak mengurus masa dalam kehidupan sehariannya memandangkan masa itu emas. Bagi mengendalikan pengurusan masa yang terkawal, remaja tersebut digalakkan untuk mewujudkan jadual hariannya untuk belajar tetapi masih fleksibel untuk dirinya melakukan perkara lain. Jadual hariannya mestilah merangkumi setiap mata pelajaran yang dipelajarinya dan dibahagikan masa secara adil, bak kata peribahasa, seduit dibelah tujuh. Aktiviti riadah juga signifikan untuk mereka merehatkan minda daripada kekusutan yang dialami sekiranya balajar secara berterusan. Mereka bolehlah melakukan aktiviti senggang seperti berjoging, mendengar muzik, berbasikal dan sebagainya.

Selain itu, untuk menjadi remaja berilmu, individu tersebut hendaklah memiliki disiplin yang cemerlang kerana disiplinlah yang membentuk jati diri seseorang. Patuhilah peraturan-peraturan sama ada di sekolah, di rumah dan sebagainya. Remaja yang bedisiplin dapat mengawal tingkah lakunya dengan baik tanpa teguran daripada mana-mana pihak. Contohnya ialah dating awal ke sekolah, mematuhi peraturan sekolah, tidak merosakkan harta-benda sekolah, dan tidak melakukan jenayah. Maka, remaja itu harus berwaspada dengan keadaan di sekitarnya dan tidak mudah dipengaruhi. Jati diri yang kental sentiasa mengatakan ‘tidak’ kepada sesuatu perkara yang negatif.

Dari perspektif yang lain pula, sikap merendah diri juga perlu untuk menjadi remaja yang berilmu. Jadilah seperti padi yang semakin berisi, semakin tunduk dan bukanlah lalang yang semakin berisi, semakin tegak. Elakkanlah sikap membangga diri dengan ilmu yang kita miliki. Kita sepatutnya merendah diri dengan bertanya kepada guru tentang apa yang tidak difahami sepenuhnya. Dengan ini, kita dapat mengetahui dengan selanjutnya mengenai sesuatu perkara. Bukankah semakin bertambah ilmu kita?

Langkah seterusnya untuk menjadi remaja yang berilmu ialah seseorang itu perlulah menjadikan dirinya sebagai ulat buku. Pelbagai bahan bacaan boleh didapati dewasa ini melalui pelbagai sumber termasuklah pusat sumber, melayari internet, dan juga daripada kedai-kedai buku seluruh negara yang banyak bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Remaja seharusnya mengambil langkah bijak dengan membaca bahan-bahan ilmiah dan bukan sahaja majalah hiburan serta komik. Cukuplah sekadar sebuah buku setiap hari. Jika berkesempatan, tambahlah bahan bacaan ilmiah supaya akal kita sentiasa berkembang dengan input-input baru daripada bahan yang telah dibaca.

Wawasan hidup juga amat penting untuk menjadi remaja yang berilmu. Seorang remaja yang berwawasan akan bersungguh-sungguh untuk mengejar hala tuju yang diimpikan. Setiap perkara yang diidam mesti diikuti dengan usaha yang secukupnya kerana yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang. Misalnya, jika remaja tersebut bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang ahli astronomi, mereka perlulah belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menggapai wawasan hidupnya. Sudah terang lagi bersuluh bahawa, tanpa ilmu siapalah kita untuk mengejar angan-angan sedemikian. Janganlah kita menjadi seperti Mat Jenin yang hanya tahu berangan-angan kosong.

Kesimpulannya, pelbagai perkara boleh dilaksanakan untuk menjadi remaja yang berilmu. Remaja yang bijak mengambil kesempatan pasti menjadi remaja yang berilmu. Setiap perkara yang dihajati haruslah diiringi dengan usaha yang proaktif selain berdoa kepada Tuhan bagi mencapai hajat kita. Remaja dewasa ini perlulah menggunakan ruang dan peluang yang ada di depan mata dengan sebaik mungkin kerana pisang tidak berbuah dua kali. Dengan ilmu, remaja mampu menggegarkan dunia ini dengan pelbagai transformasi positif bagi membina pembangunan dan kemajuan yang utuh lagi kukuh jika acuannya juga mantap dan kental.

Nur Anisa Atirah bt Fadzil                                               
5SC1

09:25

Cara-cara Mengatasi Tekanan


Pelajar-pelajar sering berhadapan dengan tekanan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Kemukakan pendapat anda tentang cara-cara untuk mengatasi tekanan.

            Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu berbeza-beza  tahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa  kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan sebagai sumber kesengsaraan dan penderitaan  sehingga tekanan yang dihadapi  itu  membawa kepada pengakhiran kehidupan. Sebagai pelajar, saya juga tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca daripada pelbagai faktor terutamanya faktor pelajaraan. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, beberapa langkah telah saya ambil bagi menangani masalah tekanan.

            Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang sangat berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan tersebut ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap saya lakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Selepas bermain futsal dan badminton umpamanya, selain peluh mengalir membasahi tubuh, kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas mandi dan membersihkan diri, saya akan berehat melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih baik apabila saya dapat melelapkan mata. Oleh sebab kepenatan selepas melakukan riadah, saya akan  tidur dengan sangat lena. Hilang sebentar segala masalah yang membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi lapang. Ada waktunya saya melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan masalah peribadi, mahupun masalah pelajaran yang sering memberikan tekanan kepada saya. Lantaran itu, saya menganggap kegiatan riadah sebagai serampang dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi salah satu cara untuk mengurangkan tekanan.

Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi memastikan saya  memiliki kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, saya  sentiasa berfikiran positif apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal dan sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak akan  berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya saya akan memikirkan sama ada pujian terebut diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada saya kerana ada udang di sebalik batu. Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun saya menerimanya sebagai satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau teguran       pula yang diberikan, saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan saya bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik kritikan yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri lalu membaiki segala kekurangan yang ada agar saya tidak menerima kritikan yang sama pada waktu yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat menerima kritikan  tersebut, fikiran akan menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan terjerat dalam kancah tekanan yang melampau. Natijahnya, saya sentiasa menghadapi tekanan dengan fikiran yang positif.

Saya ialah penggemar dan pencinta muzik sama ada muzik ciptaan anak tempatan mahupun muzik antarabangsa. Seandainya muzik tidak didengar menerusi cakera padat, masih ada muzik di dalam jiwa saya yang membuatkan kaki bergoyang. Bagi saya, muzik pencetus kegembiraan dan keceriaan, walaupun sesekali muzik mengundang kesedihan dan kedukaan. Hal ini bertepatan dengan pandangan ahli-ahli psikologi bahawa muzik merupakan salah satu wahana terapi yang efesien dan sumber ketenangan fikiran yang sering diabaikan. Apabila muzik bergema, hati akan dibuai oleh alunan melodinya sehingga di luar kesedaran diri, saya seperti berada di alam yang lain. Muzik yang rancak akan menyebabkan kaki bergoyang, manakala muzik sentimental pula akan menjadikan diri dibuai perasaan.  Seni katanya yang melankolik akan menyumbang ke arah penghayatan yang tinggi seolah-olah saya turut merasakan kedukaan yang sedang dialami oleh pelantun lagu tersebut.  Jika tekanan menghimpit perasaan, tanpa disedari saya telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan bantuan muzik. Hal ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang menukil bahawa muzik tak mungkin dapat dipisahkan daripada jiwa setiap manusia. Tanpa muzik juga kehidupan akan menjadi sepi.  Oleh itu, muzik bukan sahaja dapat menghiburkan hati, malah  muzik seperti memiliki kuasa magis  yang berupaya mengurangkan tekanan yang saya hadapi, bertepatan dengan maksud peribahasa sambil menyelam minum air.

Saya juga menjadikan ibadat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Setiap hari saya akan mendirikan sembahyang, sekurang-kurangnya lima kali sehari kerana sembahyang merupakan tiang agama. Apabila saya tidak mendirikan solat, hal ini bermakna runtuhlah agama saya. Sesungguhnya, sembahyang memberikan ketenangan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Sembahyang yang khusyuk akan menjadikan saya melupakan semua tekanan yang saya hadapi, malah saya dapat merasakan betapa dekatnya diri  saya dengan Yang Maha Pencipta. Jiwa berasa tenang dan damai, hati juga menjadi bersih. Benarlah seperti yang pernah dikatakan oleh  seorang penceramah gaya hidup sihat, Encik Norhisham Mustaffa bahawa sembahyang merupakan senaman yang paling ampuh untuk memberikan kesihatan terbaik buat tubuh badan kita . Ketika rukuk dan sujud, darah akan mengalir dengan lebih sempurna di tubuh kita. Demikian juga ketika saya duduk di antara dua sujud dan duduk tahyat awal serta akhir, kedudukan tubuh dan jari-jari kaki memberikan bentuk senaman yang begitu berkesan. Selepas mendirikan solat, saya akan berzikir yang mampu membersihkan dan memberikan kedamaian kepada hati serta jiwa. Saya sangat menyedari dan menginsafi bahawa hanya Allah yang dapat membantu saya dalam segala hal. Lantaran itu, saya menjadikan ibadat sebagai usaha yang terbaik untuk menghindari dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Melancong merupakan aktiviti kekeluargaan yang amat saya nanti-nantikan. Setiap tahun ayah dan ibu akan membawa saya serta adik melancong ke luar negara. Sehingga kini kami telah melawat Indonesia, China, Kemboja dan India selain melancong di dalam negara. Sejujurnya, setiap kali melancong saya dapat merasakan keterujaan dan kegembiraan yang membolehkan saya melupakan segala masalah yang membelenggu fikiran. Secara tidak langsung, tekanan yang mengganggu fikiran yang berpunca daripada masalah yang dihadapi dapat saya atasi atau setidak-tidaknnya dapat saya lupakan sebentar. Ketika melancong itu, saya dapat menikmati keindahan dan keunikan panorama negara lain di samping menambahkan pengetahuan tentang budaya dan sejarah negara tersebut, bertepatan dengan maksud peribahasa jauh berjalan luas pandangan. Ketika melawat Solo dan Jogjakarta di Pulau Jawa, Indonesia umpamanya, saya dapat menyaksikan keunikan budaya mereka walaupun kita masih dalam rumpun yang sama, iaitu Melayu. Seni tari mereka sangat halus dan mempesona berdasarkan gerak jari tangan, kaki dan tubuh mereka dengan iringan muzik gamelan yang syahdu. Adat di keraton pula masih dikekalkan untuk tatapan pelancong walaupun sistem pemerintahan beraja tidak lagi diamalkan di republik tersebut. Keunikan Candi Borobudur amat mengagumkan dengan seni binanya yang amat halus. Keseluruhan aktiviti ketika melancong itu termasuk sesi membeli-belah cukup membantu saya melupakan segala tekanan yang dihadapi.

Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai usaha yang saya lakukan untuk menghadapi tekanan dalam kehidupan. Walau apa-apa pun yang berlaku, mahu atau tidak, saya terpaksa menghadapi segala tekanan yang ada demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna. Tekanan merupakan masalah dan tekanan juga merupakan sumber motivasi, justeru tanpa tekanan, hidup kurang berseri umpama pokok yang tidak berbunga. Dengan tekanan jugalah fikiran saya menjadi lebih matang dan dewasa. Di sebalik ketabahan saya menghadapi tekanan itu, saya masih memerlukan insan lain untuk menghadapinya dengan lebih rasional. Dalam hal ini, kedua-dua ibu bapa akan menjadi sumber rujukan saya di samping rakan-rakan sebaya yang rapat hubungannya dengan saya. Saya juga tidak melupakan guru yang mendidik dan mengajar saya menjadi insan berilmu. Sesungguhnya, hanya dengan ketabahan dan keimanan yang kukuh dapat membantu saya menghadapi semua tekanan dengan tenang.

                                                                                                (1247 patah perkataan) 

09:23

Usaha-usaha Menceriakan Kawasan Sekolah

FAKTA
HURAIAN
1.
Gotong royong membersihkan kawasan sekolah dan bilik darjah
Ayat huraian  : -semua pelajar ambil inisiatif menyertai aktiviti gotong-royong
Ayat contoh   : -menghadiri gotong-royong yang diadakan pada hari Sabtu
Ayat huraian  : -melibatkan diri secara sukarela, tanpa mengharapkan ganjaran, berusaha
                          gigih tanpa mengenal erti jemu semasa menjalankan aktiviti
Ayat contoh   :- membersihkan longkang yang tersumbat, membersihkan tandas,                            
                          memangkas pokok bunga
Ayat huraian  :-pelajar bertanggungjawab jaga kebersihan+keceriaan kelas
Ayat contoh   : -sediakan jadual tugas harian, bersihkan bilik darjah, semua pelajar
                          laksanakan kewajipan dan tugas ikut giliran
                        - harapan memenangi pertandingan keceriaan kelas
Ayat penegas  :-berganding bahu, memberi kommitmen tinggi dalam menjayakan aktiviti
                          menceriakan sekolah
Peribahasa: bagai aur dengan tebing/muafakat membawa berkat

2.
Menghijaukan kawasan sekolah
Ayat huraian   :-menanam pokok bunga di sekeliling sekolah
Ayat contoh    :-melibatkan diri dalam kempen Hijaukan Bumi: Satu Warga, Satu Pokok
Ayat huraian   :-mewujudkan taman bunga, Taman Herba
Ayat contoh    :-mengindahkan sekolah/pelajar mengenal pelbgai spesis tanaman 
Ayat huraian   :-persatuan sekolah diberi tanggungjawab untuk memelihara dan menjaga     
                           Taman bunga tertentu
Ayat contoh    :-Persatuan Sains menjaga Taman Herba
Peribahasa: sambil meyelam minum air/ringan tulang/sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit

3.
menaik taraf dan membaiki prasarana dan infrastruktur sekolah

Ayat huraian  :-mengecat bangunan dan kemudahan sekolah
Ayat contoh   :-mengecat semula pintu, almari, bangku yang usang  
Ayat huraian  :-memberi sumbangan dalam bentuk kewangan 
Ayat contoh   :-membeli cat, barang hiasan dll
Ayat huraian  :-membaiki kemudahan yang rosak
Ayat contoh   :- membaiki meja, kerusi yang rosak, aplikasikan kemahirn hidup yg
                          Dipelajari, jimat kos utk beli yg baru
Peribahasa:      kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya


4.
Mencantikkan kawasan sekolah

A.H: Mewujudkan mural yang cantik dan menarik
A.C: Melukis mural mengikut tema tertentu spt alam sekitar, gaya hidup sihat, menjauhi dadah dll
A.H 2: Melukis banner dan meletakkan banner atau papan tanda yang berwarna-warni
A.C 2: Memaparkan nilai estetika dan informasi penting
A,H 3: Menghiaskan koridor dengan pokok yang cantik
A.C 3: Menyusun pokok bunga yang pelbagai warna di sepanjang koridor
Peribahasa:  ada jalan, ringan tulang


5.
Melibatkan diri dalam kempen yang berkaitan dengan usaha menceriakan sekolah


A.H 1: Persatuan Alam Sekitar mengambil prakarsa menganjurkan kempen
A.C 1: Kempen ‘Alam Sekitar Sahabat Kita’ atau Kempen ‘Keceriaan Sekolah Jaminan                                               Kecemerlangan Individu’
A.H 2: Individu membawa pokok yang reneh sebagai usaha menyokong kempen
A.C 2: Bonzai atau kaktus bagi menghiaskan kawasan dalaman spt makmal, bilik darjah, pejabat
A.H 3: Pelajar menyertai program Toyota Eco Youth
A.C 3: Mengklasifikasikan bahan buangan dan membuang ke dalam tong kitar semula/ menggunakan tong kitar semula secara optimum
A.H 4: Menggunakan semula bahan terpakai untuk menghias kawasan sekolah
A.C 4: Membuat arca daripada tin aluminium/ melestarikan landskap dengan menggunakan botol plastic
Peribahasa: hati hendak semua jadi


6.
Melaksanakan program ‘3K’ iaitu Kebersihan, Keceriaan dan Keselamatan


A.H 1: Melukis tanda/ gambar di tempat yang bahaya/ tinggi sbg amaran kepada pelajar
A.C 1: Melukis garisan kuning di tempat yang merbahaya
A.H 2: Mencipta slogan atau cogan kata yang unik dan bermakna untuk kepentingan keselamatan pelajar
A.C 2: Kata-kata spt ‘Hargai Nyawa Anda’ dan ‘Awas’
A.H 3: Menyumbang idea bagi menjemput pihak-pihak berkuasa bagi memberi taklimat-taklimat ringkas berkaitan dengan bantuan kecemasan
A.C 3: Menjemput pihak bomba bagi memberi maklumat kecemasan berkaitan dengan kes kebakaran
A.H 4: Membantu menampalkan pelan kecemasan kebakaran di pintu kelas masing-masing
A.C 4: Boleh mengikut jalan-jalan yang selamat apabila kes kebakaran berlaku/ tidak menjejaskan keselamatan masing-masing
Peribahasa:  hendak seribu daya  tak hendak seribu dalih         



09:18

Kepentingan Semangat Kejiranan


 Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun ada lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan  usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.

            Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

            Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

            Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

            Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan  contoh paling jelas, dan atas sokongan  rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka  melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melaonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.

            Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat  disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.

            Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana  rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

09:14

Memupuk Minat Membaca Sastera


          Sedarsawasa yang lalu,karya sastera amat di minati oleh semua bangsa di Tanah Melayu.Karya sastera juga boleh didefinisikan sebagai wadah atau sarana untuk menyatakan dunia masyarakat dan zamannya.Karya sastera merupakan karya yang mempunyai daya kreatif yang asli dan tersendiri.Di Negara kita,juga terdapat Sasterawan Negara yang ternama dan terbilang.Saban hari, karya sastera semakin hilang ditelan zaman yang serba canggih dan moden.Pemuda dan pemudi pada zaman canggih ini,kurang meminati karya sastera kerana mereka tiada masa untuk membaca sesuatu karya sastera seperti cerpen,drama,sajak puisi dan sebagainya.Justeru,kerajaan perlu mengambil usaha-usaha yang drastik untuk memupuk minat membaca karya sastera di kalangan masyarakat agar karya sastera tidak lupus ditelan zaman yang serba moden.

                   Antara usaha    yang perlu diambil oleh kerajaan untuk memupuk minat membaca karya sastera di kalangan masyarakat.Bagaimana?Dengan meganjurkan kursus penulisan karya sastera terutamanya di kalangan pelajar-pelajar sekolah.Dengan ini,pelajar-pelajar akan dapat mengetahui apa yang dimaksudkan dengan karya sastera dan juga mengetahui cara-cara untuk membaca karya sastera yang baik dan bagus. Dengan adanya kursus seperti ini mereka  akan dapat membaca karya sastera dengan menggunakan daya kreatifiviti mereka yang asli dan mempunyai idea yang tersendiri.Contohnya menganjurkan Perkampungan Penulis Muda bagi pelajar sekolah dan juga masyarakat.Ibu bapa juga perlu memberi dorongan yang kuat terhadap anak mereka yang meminati karya sastera.Bagaimana?Membenarkan anak mereka mengikuti program yang dianjurkan oleh kerajaan.Seperti,bengkel mengarang cerpen,puisi dan pelbagai karya sastera yang lain. 

                  Usaha yang kedua adalah mengadakan kempen membaca secara besar-besaran bagi memupuk minat membaca di kalangan pelajar mahupun masyarakat.Justeru,untuk menghasilkan sebuah karya yang baik memupuk minat membaca  di dalam diri seseorang merupakan satu intensif yang bijak.Dengan wujudnya minat membaca para pelajar mahupun masyarakat dapat memperolehi perkataan yang baru dan indah sebutannya  untuk menghasilkan karya sastera yang baik.Kempen seperti ini perlu dianjurkan dengan lebih kerap lagi,agar minat membaca dan minat terhadap karya sastera  tidak akan hilang begitu sahaja.Melalui kempen seperti ini,para pelajar dan juga masyarakat akan dapat melihat pelbagai jenis karya sastera yang telah dikarang oleh pengarang mahupun sasterawan Negara.Contohnya,kempen ini perlu dianjurkan sebulan sekali atau dua bulan sekali agar minat terhadap membaca dan juga minat terhadap karya sastera dapat dikembangkan dan diperluaskan dengan lebih pesat lagi. 

                    Usaha yang seterusnya adalah menerapkan minat membaca karya sastera semasa pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah.Sekiranya cara ini dijalankan,kemungkinan besar minat membaca karya sastera dapat ditanamkan di dalam diri para pelajar dan juga guru-guru.Terdapat juga guru yang tidak tahu apa itu karya sastera,Walaupun tugasnya  sebagai seorang guru, belum pasti guru itu  tahu  apa yang dimaksudkan dengan karya sastera.Justeru,dengan menerapkan minat membaca karya sastera semasa pembelajaran dan pengajaran di bilik darjah,secara automatiknya para pelajar akan mengetahui serba sedikit tentang karya sastera.Pihak sekolah atau pihak yang berkenaan perlulah menitikberatkan perkara sebegini agar minat terhadap karya sastera tidak akan  hilang dari jiwa para pelajar mahupun guru-guru.Contohnya,menambahkan masa mata pelajaran bahasa melayu agar guru dapat menerangkan dengan lebih terperinci,memberi perhatian semasa guru mengajar.Guru juga perlulah memberi komitmen yang terbaik sekiranya para pelajar bertanya soalan tentang karya sastera. 

                     Selain itu,kementrian pelajaran perlulah mengadakan minggu sastera seperti minggu yang diadakan sekarang.Seperti,minggu bahasa melayu,minggu bahasa inggeris dan sebagainya.Dengan adanya minggu sastera ini,karya sastera tidak akan lupus ditelan zaman dan para pelajar dapat mengembangkan minat membaca karya sastera.Minggu sastera ini juga dapat memupuk sikap suka membaca kepada para pelajar yang malas untuk membaca karya sastera.Melalui minggu sastera ini,pihak sekolah dapat mencungkil bakat-bakat baru untuk menghasilkan karya para pelajar, selain memupuk minat membaca karya sastera.Secara tidak langsung,minggu sastera ini dapat memberi input yang positif terhadap usaha kerajaan untuk memupuk minat membaca karya sastera di kalangan para pelajar,guru-guru dan juga masyarakat.Dengan wujudnya minggu sastera di semua sekolah  di Malaysia,minat membaca karya sastera tidak akan hilang ditelan zaman. 

                       Usaha seterusnya adalah memperluaskan perpustakaan di sekolah dan memperbanyakkan buku tentang karya sastera di perpustakaan sekolah dan juga perpustakaan awam.Setiap sekolah mempunyai perpustakaan sendiri,namun kadar kemasukan para pelajar sangat mengecewakan.Untuk memupuk minat membaca karya sastera dn juga minat membaca buku,kerajaan dan juga pihak sekolah perlu menaiktarafkan perpustakaan di sekolah.Contohnya,sebuah perpustakaan perlu dilengkapi dengan pelbagai jenis buku dan juga karya sastera,menambahkan kemudahan asas yang diperlukan dan sebagainya.          

                        Dengan wujudnya usaha-usaha yang drastik dan konkrit,masalah memupuk minat membaca karya sastera dapat diatasi dengan begitu mudah sekali.Pihak kerajaan dan pihak sekolah juga perlu berusaha untuk memupuk minat membaca karya sastera dikalangan para pelajar mahupun masyarakat.”PUPUKLAH MINAT MEMBACA KARYA SASTERA DARI KECIL”           

09:11

Peranan Ibu Bapa Dalam Memupuk Amalan Menabung Dalam Diri Anak-Anak



Sebagaimana yang kita tahu, pada tahun 2010, sebanyak tujuh purnama telah mengucapkan salam permisi bulan demi bulan. Bagaimanapun, dalam aspek sosial, pelbagai lakaran suram telah terpahat akibat kurang kesedaran masyarakat tentang kepentingan amalan menabung. Masyarakat lebih gemar menghabiskan wang yang ada daripada menabung. Stigma yang negatif ini sememangnya sudah lama berakar umbi dalam jiwa masyarakat. Walaupun pihak kerajaan pernah memerah keringat untuk menggalakkan rakyat menabung, khususnya anak-anak, tetapi usaha murni tersebut telah menemui jalan buntu, seperti hujan di atas pasir. Secara literalnya, menabung dapat ditakrifkan sebagai amalan menyimpan wang di bank, di dalam tabung dan yang seumpamanya. Dalam usaha menjayakan amalan menabung, ibu bapa memainkan peranan yang paling penting untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak-anak.

Kanak-kanak diibaratkan sebagai kain putih yang tanpa tompok, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya. Ibu bapa seyogia melakukan anjakan paradigma untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak, sepantun peribahasa “ melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Oleh hal yang demikian, ibu bapa harus menjadikan diri sebagai suri teladan untuk anak-anak. Pada usia yang muda, anak-anak tidak dapat berfikir dengan rasional dan matang serta tidak dapat membezakan antara intan dengan kaca. Kesannya, mereka akan mencontohi pelakuan dan tingkah laku ibu bapa. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Peribahasa yang sering terngiang-ngiang di telinga kita ini masih dapat dibuktikan kebenarannya sehingga hari ini. Memandangkan anak-anak akan mencontohi apa-apa jua tindakan dan gelagat ibu bapa, ibu bapa harus mengamalkan tabiat menabung. Antaranya, ibu bapa harus menyimpanwang yang berlebihan di dalam tabung. Ibu bapa juga harus membuka akaun bank untuk menyimpan wang. Kontranya, sekiranya ibu bapa membazir wang mereka, anak-anak tidak mungkin akan menabung. Gambaran di atas memanifestasikan peranan ibu bapa sebagai suri teladan untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak.

Mutakhir ini, pihak bank telah memberikan galakan kepada masyarakat untuk membuka akaun bank. Pihak bank juga menyediakan pelbagai insentif yang menarik, seperti kadar faedah yang tinggi kepada sesiapa sahaja yang membuka akaun bank untuk menambat hati masyarakat. Lantas ibu bapa harus memanfaatkan peluang ini untuk membuka akaun bank bagi anak-anak mereka. Amalan menyimpan wang di dalam bank dapat dicerminkan dengan peribahasa, “ menyediakan payung sebelum hujan”. Hal ini berlaku demikian kerana wang yang akan disimpan di dalam bank dapat digunakan semasa kecemasan. Dengan membuka akaun bank, anak-anak berpeluang didedahkan dengan kepentingan amalan menabung. Anak-anak juga akan mengambil iktibar bahawa menabung merupakan amalan kudus yang harus disemai. Ibu bapa juga harus mengambil inisiatif tanpa mengenal penat dan lelah untuk membawa anak-anak ke bank dua bulan sekali. Usaha untuk menyimpan wang di bank harus dilakukan secara istiqamah dan konsisten, bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Ilustrasi di atas menggambarkan bahawa ibu bapa harus mengorak langkah yang proaktif untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak.

Semasa meraikan hari ulang tahun kelahiran anak-anak, ibu bapa gemar menghadiahkan hadiah yang mahal-mahal kepada anak-anak sebagai tanda kasih sayang terhadap anak-anak. Sebagai misalan, terdapat segelintir ibu bapa yang akan menghadiahkan komputer, alat permainan video dan sebagainya kepada anak-anak sebagai bukti mereka telah menatang minyak yang penuh. Pernahkah terlintas dalam jalur fikiran anak-anak tentang impak negatif pemberian hadiah-hadiah sedemikian kepada anak-anak? Kesan yang paling ketara ialah anak-anak akan bersifat hedonistik. Lantaran itu, langkah yang paling afdal ialah ibu bapa sewajarnya menghadiahkan tabung kepada anak-anak sempena ulang tahun kelahiran anak-anak. Hal ini bukan sahaja dapat menyerlah kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak, tetapi juga dapat menanam amalan menabung dalam hati nurani anak-anak. Ibu bapa digalakkan menghadiahi anak-anak tabung yang cantik dan bercorak menarik agar anak-anak akan menggunakannya untuk menabung. Anak-anak juga akan menyedari kepentingan amalan menabung dalam kehidupan seharian. Deduksinya, memang tidak ada sesiapa yang berupaya menyangkal bahawa tindakan ibu bapa memberikan tabung sebagai hadiah adalah sangat wajar untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak.

Sementelahan itu, ibu bapa harus memberikan penerangan kepada anak-anak untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Alternatif ini dapat diibaratkan sebagai perisai yang amouh kerana dengan adanya penerangan, anak-anak akan dapat meluaskan horizon mereka tentang kepentingan amalan menabung. Sebagai contoh, amalan menabung dapat menggarap nilai berjimat-cermat dan mengikis sikap boros anak-anak. Anak-anak juga berupaya menguruskan kewangan dengan lebih efektif untuk mengelakkan pembaziran. Pada masa yang sama, ibu bapa harus memberitahu anak-anak tentang kesan-kesan negatif sekiranya amalan menabung tidak dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Antaranya, anak-anak akan dikuasai keborosan. Penerangan harus diberikan secara berhemah dan lemah lembut supaya lebih mudah diterima oleh anak-anak. Ibu bapa juga wajar menjadikan cerita, teka-teki dan tayangan video sebagai saluran untuk menyampiakan informasi tersebut kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana media-media tersebut amat mujarab untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Sebagai penalinya, ibu bapa harus menggembleng tenaga dan mendukung obligasi untuk membentuk generasi masa hadapan yang menyemai amalan menabung dalam sanubari.

Setiap tahun, pihak kerajaan akan bahu-membahu dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan “Kempen Menabung”. Matlamat utama aktiviti tersebut dianjurkan adalah untuk mempraktikkan amalan menabung dalam kalangan anak. Dalam majlis pelancaran Kempen Menabung, pelbagai aktiviti yang menarik akan diadakan, seperti sayembara menulis esei, kuiz pengetahuan am dan pertandingan melukis. Hadiah-haidah yang lumayan telah disediakan untuk pemenang-pemenang. Oleh itu, ibu bapa harus membawa anak-anak untuk memeriahkan majlis tersebut serta memberikan kerjasama yang padu untuk menjayakan kempen tersebut. Usaha pihak kerajaan yang bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) adalah seperti sambil menyelam minum air. Hal ini demikian, usaha yang murni ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan kekeluargaan, tetapi juga dapat memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Anak-anak memang akan memperoleh kemaslahatan yang banyak sehingga tidak dapat dihitung oleh jari. Antaranya, anak-anak akan diperkenalkan kepada teknik menabung yang berkesan. Anak-anak juga dapat menghabiskan masa dengan berfaedah. Natijahnya, ibu bapa berperanan untuk membawa anak-anak ke Kempen Menabung agar dapat memupuk amalan menabung dalam kalangan anak.

Akhirulkalam, seluruh strata masyarakat khususnya ibu bapa harus melangkah sederap dengan pihak-pihak ataupun agensi-agensi yang lain untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak. Amalan menabung merupakan nadi pembangunan dan kesentosaan negara. Justeru, jangan meranapkan impian Wawasan 2020 yang lantang diuar-uarkan oleh mantan perdana Menteri Malaysia, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammah. Bersama-samalah kita memanifestasikan iltizam Malaysia untuk menjadinegara yang maju yang dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara moden di seantero dunia. Hal ini kerana salah satu elemen kearah kemajuan negara ialah amalan menabung. Biar matahari terus bersinar, biar pepohon terus menghijau dan biarlah Malaysia terus gilang-gemilang di persada antarabangsa hingga kekal abadi. Semoga dengan saranan-saranan pragmatik di atas menjadi kenyataan, fajar sidik 2020 yang akan menyingsing nanti akan membawa sinar baru kepada masa hadapan anak watan Malaysia. “ Nik kasa nir jaya”. Ungkapan berirama Sanskrit ini mencerakinkan bahawa kejayaan tidak mungkin dibuahkan tanpa usaha yang padu dan konkrit daripada ibu bapa untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan anak, seperti juga yang digambarkan dalam rangkap puisi berikut:

Kulit upih dihiris mayang,
Bersarang ulat di tepian kolek,
Yang pipih tidak dating melayang,
Yang bulat tak dating bergolek.

LIM HARN CHIENH (5SCB)

09:10

Peranan Semua Pihak Dalam Memupuk Minat Membaca Dalam Diri Masyarakat Malaysia


“Membaca itu jambatan ilmu,” merupakan satu kata-kata hikmat yang jelas menunjukkan kepentingan amalan membaca dalam hidup  kita. Kendatipun begitu, kata-kata hikmat ini sering dipandang enteng oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia terutamanya para remaja yang akan menjadi pemimpin negara pada suatu masa kelak. Masyarakat Malaysia sering kali menganggap bahawa amalan membaca itu bukan sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata tetapi juga untuk mengetahui keadaan semasa, meluaskan ilmu pengetahuan dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, setiap pihak haruslah melaksanakan obligasi masing-masing untuk memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan rakyat Malaysia

            Ibu bapa merupakan insane yang memainkan peranan signifikan untuk memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Menurut Confucius, “ keluarga merupakan unit asas pembentukan masyarakat”. Kata-kata ini jelas menunjukkan pembentukan peribadi  seseorang individu bermula daripada keluarga dan keluarga itu pula lahir dengan sepasang ibu bapa. Dalam hal ini, sebagai insane yang paling penting, ibu bapa perlulah menjadi entity mithali yang terbaik bagi anak-anak. Ibu bapa mestilah menunjukkan uswah terbaik dengan mengamalkan amalan membaca di hadapan anak-anak. Hal ini demikian kerana, apabila ibu bapa hanya menasihati anak-anak supaya membaca tetapi mereka sendiri tidak menunjukkan teladan yang baik, pasti anak-anak akan mempersoalkan sebab mereka perlu membaca, sedangkan ibu bapa mereka tidak perlu membaca. Oleh hal yang demikian, sebagai insan yang terdekat dengan anak-anak, ibu bapa perlulah mengamalkan amalan membaca di hadapan anak-anak sama ada membaca akhbar, buku ilmiah, novel dan sebagainya. Dengan adanya contoh yang baik di hadapan anak-anak, barulah ibu bapa boleh menasihati anak-anak supaya membaca pada saat itu, anak-anak tidak akan mempersoalkan lagi sebab mereka perlu membaca, seperti cogan kata, “ kepimpinan melalui teladan.”

            Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlulah membelanjakan sedikit daripada wang pendapatan mereka untuk membeli bahan bacaan untuk anak-anak. Ibu bapa seharusnya tidak kedekut dalam membelanjakan sebahagian daripada wang pendapatan mereka untuk membeli bahan bacaan kerana mereka perlu sedar bahawa yang dibelanjakan oleh mereka itu tidak sia-sia dan bakal menjadi sesuatu yang berguna untuk anak-anak mereka sebagai peneraju masa hadapan, seperti kata-kata seorang tokoh, “ masa hadapan itu dibeli oleh masa sekarang.” Apabila ibu bapa sudi membelanjakan sebahagian daripada wang mereka untuk membeli bahan bacaan untuk anak-anak, pasti anak-anak akan lebih mudah mendapatkan bahan bacaan dan tidak perlu ke mana-mana untuk mendapatkan bahan bacaan sekali gus meningkatkan minat membaca dalam diri anak-anak. Seiring dengan itu, selain sebuah keluarga ini dapat membentuk sebahagian masyarakat, apabila anak-anak kecil ini keluar dari rumah mereka dan membaca di hadapan masyarakat lain, pasti masyarakat lain akan mencontohi perbuatan anak-anak kecil ini sebagai orang yang lebih dewasa, pasti mereka akan berasa malu terhadap anak-anak kecil ini. Hal ini demikian kerana, apabila masyarakat yang lebih dewasa melakukan kerja yang sia-sia, dalam mengisi waktu lapang mereka, pasti akan terdetik dalam sukma mereka, sedangkan anak kecil ini lebih menghargai masa dengan memenuhkan masa lapang mereka dengan membaca, mengapa mereka yang lebih berilmu dan berpengalaman tidak melakukan hal yang yang sama. Dengan itu, secara implisit, tabiat suka membaca dalam diri masyarakat Malaysia dapat dipupuk.

            Selain itu, pihak kerajaan juga memainkan peranan untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia. Dalam hal ini, pihak kerajaan bolehlah mengadakan kempen-kempen yang menggalakkan amalan membaca. Pihak kerajaan seharusnya menggunakan sebahagian daripada pendapatan negara  untuk memupuk minat membaca dalam diri masyarakat Malaysia. Bagi golongan miskin pula, dalam menjayakan kempen memupuk budaya membaca ini, pihak kerajaan bolehlah membantu warga miskin ini dengan memberikan buku-buku percuma kepada mereka. Dengan adanya buku-buku mahupun bahan-bahan bacaan yang percuma, pasti kempen ini dapat dijayakan oleh seluruh rakyat Malaysia kerana tidak timbul lagi masalah ketiadaaan bahan bacaan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Pihak kerajaan juga seharusnya tidak memandang enteng terhadap usaha mengadakan kempen untuk memupuk minat membaca dalam diri masyarakat kerana dengan adanya usaha yang bersungguh-sungguh  dan beristiqamah oleh pihak kerajaan, pasti matlamat kudsi kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang minat membaca dapat diwujudkan. Pihak kerajaan seharusnya tidak takut akan kegagalan usaha mereka ini, seperti kata-kata Phytagoras, “ kegagalan bukanlah bererti kemusnahan tetapi jadikanlah kegagalan itu sebagai lanjakan untuk mencapai kejayaan”. Oleh itu, wajarlah pihak kerajaan mengadakan kempen untuk memupuk minat membaca dalam diri masyarakat kerana “ belum cuba, belum tahu.”

            Media massa juga berperanan penting untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat. Media massa seperti televisyen, internet, radio dan sebagainya penting dalam menghebahkan kepada masyarakat tentang kepentingan tabiat membaca. Dalam hal ini, pihak-pihak yang terlibat seperti penerbit stesen televisyen haruslah mengadakan satu dokumentasi yang memaparkan kepentingan membaca dalam kehidupan dan menayangkannya di televisyen. Dengan ini, masyarakat yang cetek ilmu tentang kepentingan membaca akan lebih tahu mengapa membaca itu penting dalam kehidupan mereka. Drama pendek yang berkaitan dengan kepentingan membaca juga boleh dipertontonkan di televisyen kerana mesej yang disampaikan oleh drama-drama yang ditayangkan di televisyen akan meresap dengan lebih mudah dalam jiwa masyarakat Malaysia. Hal ini demikian kerana, jiwa masyarakat selalunya lebih tertarik dengan dunia hiburan. Jadi, sebagai pihak media massa yang prihatin, mereka seharusnya lebih kreatif dalam melaksanakan usaha untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia agar Malaysia terus maju seiring dengan arus globalisasi.

            Pihak sekolah juga menggalas tanggungjawab untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia. Dalam hal ini, guru merupakan insan terpenting yang berperanan memupuk minat membaca dalam diri pelajar. Sebagai guru yang penyayang dan ingin pelajarnya berjaya, pasti guru-guru sedar akan kepentingaan membaca dalam kehidupan. Guru-guru di sekolah seharusnya bekerjasama dalam mengadakan pertandingan bagi memupuk minat membaca dalam diri pelajar. “melentur buluh biarlah dari rebungnya,” jelas menunjukkan dalam usaha membentuk peribadi seseorang, kita perlulah membentuknya sejak dari kecil lagi. Guru-guru tadika mahupun guru-guru sekolah rendah memikul tanggungjawab yang paling penting untuk menerapkan minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah kerana pada saat ini, pelajar-pelajar ibarat kain putih yang belum dicorakkan. Pada ketika ini, pelajar-pelajar masih belum dapat membezakan antara baik dan buruk mahupun dosa dan pahala. Oleh itu, apabila guru-guru mengadakan pertandingan seperti pertandingan membaca paling banyak dan memberikan hadiah berupa wang tunai dan bahan bacaan kepada para pemenang,pasti pelajar-pelajar tersebut tidak akan melepaskan peluang untuk mengambil bahagian sekali gus mereka akan selalu membaca. Mungkin pada mulanya, pelajar-pelajar ini membaca kerana ingin memenangi pertandingan tetapi pasti lama-kelamaan minat membaca akan timbul dalam diri mereka. Oleh hal yang demikian, guru-guru haruslah menjalankan peranan mereka untuk memupuk minat membaca dalam diri pelajar sekali gus membentuk masyarakat Malaysia yang minat membaca.

            Tidak kurang juga, syarikat-syarikat seperti Karangkraf, PtsOne dan sebagainya perlulah menjalankan peranan dengan mengeluarkan bahan bacaan yang sesuai untuk semua peringkat umur agar masyarakat Malaysia mempunyai lebih banyak pilihan dalam memilih bahan bacaan yang sesuai dengan umur mereka. Dengan adanya kepelbagaian bahan bacaan, pasti masyarakat Malaysia akan menjadi lebih tertarik untuk membaca. Oleh itu, sebagai syarikat swasta yang prihatin dengan keadaan rakyat Malaysia, mereka haruslah menjalankan peranan mereka dengan bersungguh-sungguh.

            Akhirulkalam, semua pihak haruslah berganding bahu untuk memupuk  minat membaca dalam diri masyarakat dan tidak melepaskan tanggungjawab itu kepada pihak kerajaan semata-mata kerana “ muafakat membawa berkat.” Semua pihak haruslah bersikap, “ bagai aur dengan tebing” dalam menjayakan usaha untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat. Sebagai rakyat Malaysia pula, kita seharusnya turut mempunyai inisiatif dalam mengubah diri bagi memupuk minat membaca dlam diri kita sendiri kerana “ di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Janganlah kita terlalu mengharapkan pihak lain dalam membentuk peribadi kita kerana segala-galanya yang berlaku adalah pilihan kita sendiri.

AUNEE AZRINA ZULKIFLI (5SC1)

09:08

Kepentingan Perpaduan Kaum di Malaysia


                                  Satu Malaysia jadi pegangan,
                                 Rukun Negara teras panduan,
                                 Satu Malaysia benteng negara,
                                 Rakyat Malaysia taat setia.

            Serangkap lagu satu Malaysia di atas menunjukkan betapa pentingnya perpaduan kaum diamalkan oleh rakyat Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh, slogan kata “Satu Malaysia’’ yang menjadi pegangan wazir negara kita, Dato’ Seri Najib Abdul Razak merupakan satu langkah yang jelas bagi memantapkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, banyak kepentingan yang boleh kita peroleh daripada amalan perpaduan kaum di Malaysia.

            Antara kepentingan perpaduan kaum di Malaysia ialah mewujudkan masyarakat yang harmoni. Sebagai rakyat Malaysia, pasti kita sudah tidak asing lagi dengan wujudnya masyarakat berbilang kaum di negara kita seperti Cina, Melayu, India, Kadazan dan sebagainya. Peribahasa “ rambut sama hitam, hati lain-lain” jelas menunjukkan walaupun manusia mempunyai warna rambut yang sama tetapi sukma dan keinginan manusia adalah berbeza. Dengan mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat, barulah masyarakat harmoni yang mempunyai aspirasi yang sama dapat tercapai. Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita hendaklah mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia,seperti kata peribahasa, “ bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.

            Industri  pelancongan merupakan salah satu industri yang menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. Kunci utama dalam menarik kedatangan pelancongan ke Malaysia ialah dengan rakyat Malaysia mengamalkan perpaduan kaum. Perpaduan kaum yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia akan menarik minat pelancong dari luar negara untuk melihat sendiri amalan perpaduan kaum yang menjadi pegangan setiap rakyat Malaysia. Hal ini secara implicit dapat memperkenalkan keindahan Malaysia kepada masyarakat luar seterusnya menaikkan nama negara. Oleh itu, wajarlah rakyat Malaysia mengamalkan perpaduan kaum kerana selain dapat menarik kedatangan pelancong, perpaduan juga mampu menaikkan nama negara, seperti kata peribahasa,” sambil menyelam minum air”.

            Selain itu, dengan mengamalkan perpaduan kaum, kita juga dapat memajukan ekonomi negara. Apabila perpaduan kaum diamalkan oleh rakyat Malaysia, penindasan ekonomi tidak akan berlaku kerana setiap kaum akan bersaing dengan adil tanpa sedikit pun perasaan hasad dengki dalam diri mereka. Contohnya, persaingan yang berlaku dalam dunia perniagaan. Bukan itu sahaja, apabila rakyat mengamalkan peribahasa, “ bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” nescaya rakyat juga dapat bersama-sama memajukan ekonomi negara.

            Keamanan negara turut dapat dipertingkatkan apabila amalan perpaduan kaum telah meresap ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Seperti yang kita ketahui, tanpa perpaduan kaum, keamanan tidak dapat diwujudkan kerana rakyat akan bergaduh sesama sendiri sehingga menghancurkan keamanan sesebuah negara yang telah dibina itu. Pertelingkahan yang berlaku antara rakyat hanya akan menghasilkan suasana hidup yang porak-peranda. Oleh hal yang demikian, benarlah perpaduan kaum itu penting untuk meningkatkan keamanan negara.

            Konklusinya, semua pihak harus berganding bahu dan tidak mengharapkan pihak kerajaan semata-mata dalam mewujudkan perpaduan kaum. Janganlah kita bersikap evasif mahupun “ bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing” kerana perpaduan kaum itu hanya akan wujud apabila semua kaum menjalankan obligasi masing-masing dengan sempurna dan bersikap bertolak ansur.

AUNEE AZRINA ZULKIFLI (5SC1)

09:03

Kepentingan Aktiviti Rekreasi Kepada Masyarakat

Tema       :   Aktiviti Rekreasi
Tugasan  :  Kepentingan Aktiviti Rekreasi Kepada Masyarakat


            Pada era globalisasi ini, masyarakat seakan terlalu sibuk mengejar kemewahan duniawi lantas sering mengabaikan amalan gaya hidup sihat terutamanya amalan beriadah atau rekreasi. Hal ini demikian kerana mereka terlalu memandang enteng  kepentingan aktiviti rekreasi. Tanpa mereka sedari, sebenarnya terdapat varia kepentingan rekreasi kepada masyarakat.

            Antara maslahat rekreasi kepada masyarakat adalah mampu mengeratkan hubungan sama ada hubungan dengan komuniti setempat mahupun dengan ahli keluarga sendiri. Hal ini demikian kerana melalui aktiviti rekreasi, individu akan bertegur sapa dengan individu lain di sekelilingnya, lantas mengeratkan hubungan silaturahim. Contohnya, melalui amalan rekreasi, kita dapat berbual mesra dengan jiran tetangga. Jelaslah bahawa, rekreasi mampu mengeratkan hubungan antara individu dengan individu lain.

            Selain itu, aktiviti rekreasi juga mampu memberi ketenangan jiwa kepada anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana melalui aktiviti riadah, masyarakat dapat menghayati keindahan alam sekitar yang saujana mata memandang. Contohnya, melalui aktiviti senaman seperti berjoging, masyarakat akan dapat menghirup dan menikmati angin sepoi-sepoi bahasa yang segar, seterusnya mampu memberi kedamaian jiwa. Oleh hal yang demikian, aktiviti rekreasi dilihat mampu menjadi landasan utama masyarakat bagi melapangkan fikiran.

            Di samping itu, amalan rekreasi amat signifikan bagi menyihatkan badan. Amalan yang menyihatkan seperti berjoging, berkhemah mahupun sukan ekstrem seperti aktiviti terjunan udara mampu meningkatkan kadar kecergasan dan mengelakkan pelbagai penyakit koronari. Contohnya, melalui aktiviti terutamanya sukan ekstrem yang menjadi kegilaan pemuda pemudi, anggota masyarakat dapat meningkatkan kadar metabolisme yang baik untuk tubuh. Sudah terang lagi bersuluh, amalan rekreasi mampu menyihatkan badan bagi menjayakan visi Malaysia Cergas.

            Akhir sekali, aktiviti rekreasi mampu menggalakkan pertukaran idea atau buah fikiran dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana, pertukaran idea yang bernas mampu mematangkan tahap pemikiran masyarakat. Misalnya, melalui diskusi ringkas dalam kalangan masyarakat, semangat individualisme dapat dihapuskan dan semangat perpaduan yang ampuh dapat dilakar. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa rekreasi mampu merangsang pertukaran idea dan mencegah sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

            Kesimpulannya, aktiviti rekreasi dan riadah mempunyai banyak kepentingan tertentu yang dapat dimanfaatkan oleh setiap anggota masyarakat. Oleh hal yang demikian, kita perlulah mengutamakan dan mengamalkan aktiviti riadah dalam kehidupan seharian kerana sesungguhnya, minda yang cerdas terletak pada badan yang cergas.

                                                                                                                   (360 patah perkataan)

Penskoran :                        
Peringkat  :  Cemerlang
Markah dicadangkan  :  26 -27
Komen :
1.  Takrif
menepati tugasan.
2.  Idea
 relevan dan dihuraikan dengan baik berserta contoh yang sesuai.
3.  Bahasa
gramatis, berkesan dan bervariasi.