18:08

Contoh Perenggan 4 unsur

               Contoh  Perenggan 4 unsur            
                 Soalan:  Kepentingan membaca kepada masyarakat
1.      Mengisi masa lapang
           Antara kepentingan membaca kepada masyarakat ialah dapat mengisi masa lapang. Pada era globalisasi ini,masyarakat sanggup menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti yang merosakkan akhlak. Sebagai contoh,mereka melepak,ponteng sekolah,menghisap dadah,merokok dan berlumba haram.Seseorang yang gemar  membaca akan menggunakan masa senggang dengan berfaedah,bertepatan dengan peribahasa,masa itu emas. Mereka dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam kemelut sosial yang mendatangkan impak negatif kepada mereka. Oleh itu,aktiviti membaca dapat mengisi masa lapang seseorang.(80 patah perkataan)
(Kumpulan 2: Low Je Ssy,Neo Shun Tze,Ler Xiu Min,Ng Shi Hann,Lim Shih
Sien,Joanne Ong)

2.      Meluaskan pengetahuan
         Ilmu merupakan harta kita yang kekal dan pepatah ini menggambarkan kepentingan ilmu pengetahuan sebagai aset yang harus diamalkan dalam kamus kehidupan masyarakat. Masyarakat hari ini mestilah mengamalkan budaya membaca kerana membaca merupakan wadah untuk meluaskan ilmu pengetahuan. Tidak dapat dinafikan bahawa ilmu diibaratkan seperti lautan yang luas dan tiada sempadan.Hal ini bertepatan dengan kata-kata Albert Einstein yang mengatakan bahawa,semakin banyak ilmu yang kita pelajari,semakin banyak perkara yang kita tidak ketahui. Membaca juga mampu menjadi medium yang berkesan untuk meluaskan pengetahuan masyarakat. Sebagai contoh,masyarakat yang mengamalkan budaya membaca,tidak akan mudah terpedaya dengan segala tipu helah manusia yang disajikan di hadapan mereka. Berbekalkan ilmu pengetahuan yang mantap,masyarakat akan menjadi lebih rasional  dalam membuat sebarang keputusan. Oleh hal yang demikian,pembacaan yang berkesan dapat meningkatkan serta meluaskan pengetahuan masyarakat pada zaman milenium ini.( 145 patah perkataan)
(Kumpulan 5: Nur Hazira,Siti Hani,Sunita,Tan Yen Yee,Nur Ain,Hafiyyan,Khairiyah)

3.      Meningkatkan penguasaan bahasa
         Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut,amalan membaca dapat meningkatkan penguasaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Selaras dengan slogan,,”Bahasa Jiwa Bangsa”,kita perlu memartabatkan dan memelihara kedaulatan bahasa kebangsaan negara kita. Aktiviti membaca membolehkan seseorang itu meningkatkan penguasaan tatabahasa dan mengelakkan kesilapan semasa berkomunikasi. Sebagai contoh,ruangan ”Cintailah Bahasa Kita” oleh Munsyi Dewan dalam Majalah Dewan Siswa dapat membantu pembaca menguasai Bahasa Melayu dengan baik dan seterusnya dapat menyemai benih-benih cinta terhadap Bahasa Kebangsaan kita. Oleh hal yang demikian,sudah terang lagi bersuluh bahawa membaca dapat meningkatkan penguasaan bahasa masyarakat.(74 patah perkataan)
(Kumpulan 3: Saranya a/p Asojan,Nurul Aqilah Mohd Nor,Shalini a/p Paniselvam,Chua Si Min,Nurul Najihah Zainudin,Ida Nerina bt Yahya)

4.          Meningkatkan keyakinan diri 
      Melihat daripada perspektif lain,membaca mampu meningkatkan keyakinan diri. Melalui bacaan ilmiah,seseorang berupaya mengeluarkan buah fikiran yang bernas serta berhujah dengan petah. Pepatah Inggeris ada mengatakan bahawa, membaca sebuah buku yang bererti adalah lebih baik daripada membaca 50 buah buku yang tidak bererti. Sebagai contoh,seseorang pemidato itu mampu berbicara di khalayak ramai dengan penuh keyakinan sekiranya pemidato itu banyak membaca. Sudah terang lagi bersuluh, budaya membaca yang dipelopori oleh penduduk negara matahari terbit mampu meningkatkan keyakinan diri seseorang justeru melahirkan masyarakat utopia di dalamnya. ( 86 patah perkataan )
( Kumpulan 1 : Ain Zulaikha, Nurul Afiqah, Nur Hafiza, Nur Adilah, Naqiah hayani ,Quek Wan Ting )

23:00

Contoh Karangan Cemerlang SPM

TAJUK : LANGKAH-LANGKAH MENGURANGKAN  KEMALANGAN JALAN
                RAYA     

AHLI KUMPULAN :
-          ILYA FATANAH SUHAIRI
-          FATIN INANI MOHD NOH
-          MARLISA HAZIQAH MOHD NIZAM
-          NURAJLAA SHAHRUM

Sudah terang lagi bersuluh,semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020.Keadaan ini telah membawa kita mendepani realiti dunia baru yang pantas berubah dan berkembang.Namun,sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru. Isu kemalangan jalan raya kini dilihat tiada kesudahannya.Malah menurut satu kajian yang dijalankan oleh sebuah badan swasta  menunjukkan bahawa kadar peratusan kemalangan jalan raya meningkat sebanyak lima peratus  dari tahun ke tahun.Bukti yang boleh dilampirkan sebagai sokongan kepada fakta ini ialah,hampir setiap akhbar memaparkan mengenai kes-kes kemalangan jalan raya sebagai tajuk besar di halaman hadapan dada-dada akhbar.Lantaran itu,cuba kita renung sejenak,sudah berapa banyak nyawakah yang terkorban akibat kelalaian diri mahupun pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam kemalangan jalan raya di negara kita,dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini? Bilangannya pasti tidak terkira. Namun begitu,setiap penyakit pasti ada penawarnya.Begitu juga dengan kes-kes sebegini.Pelbagai langkah yang pragmatik lagi sistematik dapat dijalankan oleh semua pihak bagi menangani masalah kemalangan jalan raya yang sudah begitu lama berlaku di negara kita.

Memang tidak dapat dinafikan dan disangkal lagi bahawa segala penyelesaian kepada sesuatu masalah bermula daripada individu itu sendiri. Bagi mengorak langkah menangani kemalangan jalan raya ini,setiap individu di Malaysia haruslah melaksanakan anjakan paradigma dengan mengamalkan cirri pemanduan berhemah semasa di jalan raya.Ciri pemanduan dapat dipraktikkan dengan mengenakan topi keledar bagi penunggang motorsikal serta memandu mengikut had laju yang telah ditetapkan.Dengan mengamalkan ciri pemanduan berhemah ini,sudah tentu individu akan dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara-perkara yang mendorong ke arah kemalangan jalan raya kerana umum mengetahui bahawa malang  tidak berbau.Namun apa yang mengecewakan ialah terdapat sebilangan individu yang memandang enteng terhadap perkara ini dengan langsung tidak mempraktikkan ciri tersebut kerana beranggapan garis panduan tersebut hanyalah untuk mereka yang tidak tahu memandu atau bagi pemandu-pemandu baru.Tetapi disebabkan mentaliti mereka yang beranggapan sedemikianlah,kecenderungan untuk berlakunya kemalangan jalan raya amatlah tinggi.Janganlah sudah terhantuk baru tengadah.Ingatlah nyawa manusia tidak dapat digantikan dengan apa-apa barang mahupun wang ringgit.Selain itu,setiap individu juga perlulah bijak mengawal emosi khususnya semasa memandu.Hal ini demikian kerana tahap kesabaran seseorang pemandu itu pasti akan teruji tatkala dia berada dalam kesesakan jalan raya sebagaimana yang sering berlaku di bandar-bandar utama seperti Johor Bharu dan Kuala Lumpur.Kesannya,mereka bersikap serakah di jalan raya dengan memandu dalam had laju yang tinggi serta melanggar lampu isyarat.Berpeganglah kepada kewarasan akal yang rasional dalam apa-apa jua keadaan,bak kata peribahasa,ikut hati mati,ikut rasa binasa.Oleh itu,jadikanlah pemanduan berhemah sebagai amalan kerana pandu cermat jiwa pasti selamat.

Selain itu,kerajaan perlu sama memainkan peranan penting dalam usaha penyelesaian ini.Perundangan merupakan satu langkah yang penting untuk menyelesaikan masalah salah laku jalan raya. Tanpa perundangan, pemandu-pemandu yang jahat dan “tidak masuk ajar” akan terus mengancam keselamatan jalan raya.Perundangan boleh dikategorikan kepada dua bahagian yang besar iaitu pembentukan undang-undang dan penguatkuasaan undang-undang.Pembentukan undang-undang merupakan asas kepada perundangan. Undang-undang yang dibentuk seharusnya mempunyai kesan psikologi ke atas pengguna jalan raya yang jahat dan praktikal pula kepada pihak polis untuk dilaksanakan. Dengan adanya undang-undang yang membawa hukuman yang menakutkan maka sebahagian besar pengguna jalan raya akan takut terlibat dalam salah laku. Bagi segelintir pengguna jalan raya yang keras kepala dan mengancam keselamatan awam maka di bawah undang-undang mereka boleh dihalang untuk terus demikian dengan mekanisme kepenjaraan.Undang-undang tidak akan sempurna sekiranya ia tidak dilengkapi dengan penguatkuasaan undang-undang. Penguatkuasaan yang baik sememangnya boleh meningkatkan kewibawaan undang-undang dan kesannya terhadap keselamatan awam. Untuk itu pihak berkuasa haruslah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.Sebagai tambahan,penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dan hukuman berat mesti dikenakan terhadap sesiapa yang berani melanggar peraturan di jalan raya,bak kata peribahasa, "setinggi-tinggi terbangnya bangau, akhirnya pasti jatuh ke tanah". Tamsilnya, cadangan agar pesalah laku trafik haruslah didenda sekurang-kurangnya RM500 atau dipenjarakan selama enam bulan perlu diterima pakai bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan  agar pengguna jalan raya tidak akan berani memperlekeh amaran kerajaan lagi.Tambahan lagi, kerajaan juga mestilah  memperketat tahap kelulusan ujian yang dijalankan untuk menguji pemandu kenderaan.Kebanyakkan daripada pengguna-pengguna yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ialah mereka yang berdarah muda. Lalu,usaha kerajaan mestilah berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Lesen-lesen tidak harus diberikan kepada para pemandu dengan mudah agar kesedaran sivik mengenai pentingnya menuruti segala peraturan jalan raya yang ditetapkan benar-benar tersemai dalam sanubari mereka.

Rentetan itu, kerajaan mesti sentiasa membiayai perbelanjaan  untuk mengadakan pelbagai kempen kesedaran..Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya merupakan antara pihak yang acap kali diberi obligasi dalam melaksanakan kempen kesedaran seperti Kempen Keselamatan Jalan raya. Kempen-kempen ini haruslah diadakan dengan objektif menyedarkan para pengguna jalan raya tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya. Inisiatif ini mampu membantu meminimumkan kemalangan di jalan raya yang terus berlaku. Namun begitu,jika hanya sebelah pihak sahaja yang bersungguh-sungguh melaksanakan program ini tanpa ada sebarang sokongan daripada rakyat,akibatnya segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan dapat diibaratkan bagai mencurahkan air ke daun keladi.Maka,setiap pengguna jalan raya perlu memberikan kerjasama yang sepenuhnya demi merealisasikan hasrat kerajaan dalam Wawasan Keselamatan Jalan Raya Tahun 2010 untuk mencapai kadar kemalangan jalanraya yang minimum.Seterusnya, polis trafik mestilah menjalankan tugas dengan dedikasi. Mereka mesti menjalankan tugas masing-masing dan memberkas golongan yang melanggar undang-undang di jalan raya. Saman mesti sentiasa dikeluarkan untuk memberi amaran kepada si pelanggar peraturan jalan raya. Kelengkapan polis trafik turut mestilah sempurna. Di samping itu, polis trafik yang amanah amat diperlukan. Mereka tidak harus menerima rasuah sebaliknya mesti bersikap adil dan saksama. Sikap berdiri di atas pagar mestilah dipraktikkan oleh anggota polis trafik. Implikasinya, polis-polis trafik juga turut memainkan peranan yang agak penting.

Bertitik tolak daripada itu,pihak swasta juga memainkan peranan yang vital dalam mencegah kemalangan jalan raya daripada terus membarah dalam kalangan masyarakat Malaysia.Pihak swasta seperti syarikat bas haruslah memberikan perkhidmatan bas yang terbaik agar bilangan kemalangan yang semakin meningkat dapat dikurangkan.Antara prakarsa yang dapat dilaksanakan oleh syarikat bas tersebut ialah dengan mengambil pemandu bas yang cermat dan berhemah untuk bekerja.Dengan itu,keselamatan bas serta penumpangnya akan terjamin apabila pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan seperti had laju.Di samping itu,syarikat bas juga perlulah menetapkan bahawa pemandu bas mestilah menyelenggara bas mereka secara berkala.Mereka perlu memastikan agar bas tersebut bebas daripada kerosakan teknikal sebelum memulakan sesuatu perjalanan.Dalam konteks ini,masalah-masalah seperti kerosakan enjin , tayar pancit dan brek yang tidak berfungsi dapat diatasi serta-merta kerana kemalangan dapat disinonimkan dengan peribahasa malang tidak berbau.Bukan itu sahaja,pemandu gantian juga harus ditempatkan semasa pemanduan sebagai inisiatif untuk mengelakkan kealpaan pemandu lain apabila berasa penat dan letih.Hal ini demikian kerana,mengikut kajian kes,kebanyakan kemalangan yang terjadi berpunca daripada kecuaian pemandu itu sendiri.Tegasnya,dengan menempatkan pemandu sementara ,kemalangan jalan raya dapat diatasi dengan lebih efektif.Selain  syarikat bas,syarikat petroleum negara iaitu Petronas dapat dijadikan contoh terbaik kerana berani untuk  mengambil langkah untuk mencegah kemalangan jalan raya kerana hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih.Syarikat berkaliber itu mengadakan program Street Smart yang bertujuan memupuk kesedaran rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati di jalan raya selain sentiasa mematuhi praturan jalan raya.Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada segenap lapisan masyarakat terutamanya pelajar sekolah.Maka jelaslah bahawa syarikat swasta penting dalam usaha mencegah kemalangan jalan raya.

Bukan itu sahaja,media massa juga memikul obligasi yang berat dalam mencegah kemalangan jalan raya daripada terus berlaku.Pihak media massa sama ada media cetak seperti Berita Harian atau media elektronik seperti Media Prima haruslah menguar-uarkan mengenai isu-isu kemalangan jalan raya agar isu yang diiklankan di kaca televisyen dan di dada akhbar itu menjadi pengajaran kepada orang ramai mengenai bahayanya pemanduan yang tidak berhemah.Di samping itu,media massa juga boleh melaksanakan program pendidikan keselamatan jalan raya di Malaysia secara formal yakni kurikulum di sekolah dan institusi memandu dan secara tidak formal yakni melalui kempen-kempen bagi melahirkan pengguna jalan raya bertaraf lima bintang.Bukan itu sahaja,pihak media massa juga mestilah mengadakan kempen keselamatan jalan raya terutamanya sempena musim-musim perayaan.Hal ini demikian kerana kejadian kemalangan jalan paling kerap berlaku semasa musim-musim seperti ini.Dengan bertemakan konsep ‘’Kemalangan Sifar” dan ‘’Pandu Cermat Jiwa Selamat’’ ,kempen ini sedikit sebanyak menyemai benih kesedaran dan sikap berhati-hati di jalan raya dalam sanubari para pemandu.Seiring dengan itu,kempen yang memberi sedikit pengetahuan kepada pengguna jalan raya harus diperhebatkan dan perlu dilaksanakan dengan lebih agresif dan berterusan agar kemalangan jalan raya dapat dibanteras hingga ke akar umbi.Selain itu,slogan “Jangan biarkan keluarga anda menunggu dalam tangisan” dapat dihayati oleh masyarakat melalui kempen yang dianjurkan oleh media massa.Oleh hal yang demikian ,telah terbuktilah bahawa media massa memberi impak yang besar dalam usaha untuk mengecilkan bilangan kemalangan jalan raya yang saban hari kian meningkat.

Kemalangan jalan raya juga boleh turut dielakkan sekiranya masyarakat turut sama memainkan peranan.Sekiranya berlaku sebarang kerosakan jalan raya di sesebuah kawasan taman perumahan, haruslah terdapat seseorang di dalam komuniti tersebut yang peka terhadap kesulitan tersebut dan berusaha melaporkannya kepada pihak yang berwajib.Sesungguhnya bulat air kerana pembetung,bulat kata kerana muafakat,bersatu teguh,bercerai roboh,maka masyarakat seharusnya bersatu hati bagai aur dengan tebing untuk memastikan tidak berlakunya kemalangan jalan raya.Oleh hal yang demikian,masyarakat haruslah bekerjasama dengan pihak polis sekiranya mereka mendengar, melihat mahupun terlibat dengan kemalangan di jalan raya serta jenayah-jenayah di jalan raya yang boleh mencetuskan kemalangan seperti aktiviti lumba haram atau pemanduan tidak berhemah. Masyarakat juga boleh menyertai kempen-kempen keselamatan jalan raya yang dianjurkan oleh pihak kerajaan,sekali gus menjayakannya.Dengan mengamalkan serta menghayati kempen tersebut , kemalangan jalan raya dapat dielakkan. Berpeganglah dengan kata-kata mantan Perdana Menteri ke-4,Tun Dr. Mahathir Muhammad, “ Bersatu padulah kita membuat kebaikan dan kemajuan,dan janganlah kita bersatu padu membuat kerosakan dan kemusnahan ’’ , justeru setiap ahli dalam masyarakat haruslah saling mengingatkan antara satu sama lain dan haruslah kita bersatu padu menangani isu kemalangan jalan di samping berusaha untuk tidak menglibatkan diri dalam kemalangan jalan raya.

Intihanya,kemalangan jalan raya merupakan polemik semasa yang tiada kesudahan. Jika kita berhasrat untuk menangani kemalangan jalan raya yang semakin hari semakin serius ini,langkah-langah yang proaktif dan konkrit haruslah dilaksanakan kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Kemalangan jalan raya mampu dielakkan sekiranya semua pihak tidak kira individu, masyarakat , pihak kerajaan serta serta pihak bukan kerajaan bersatu hati menggembleng tenaga  dan usaha yang berkesan menangani isu kemalangan jalan raya . Kadar kemalangan yang sedikit mampu menaikkan martabat dan imej negara di pentas dunia agar negara kita dihormati dan dipandang tinggi serta dilabel sebagai negara yang mengamalkan  undang-undang jalan raya yang berkesan . Oleh hal yang demikian , cegah sebelum parah,ingatlah orang yang tersayang,maka pandulah dengan berhati-hati di jalan raya.

                                    Kelicap siulan indah bermadah,
                                                Hiasan berseni pilihan angsana,
                                    Celaka di jalan mengundang padah,
                                                Cara tangani wajib terlaksana.   

22:58

Contoh Karangan Cemerlang SPM

USAHA-USAHA MEMUPUK AMALAN MEMBACA DALAM KALANGAN MASYARAKAT

                                                    Membaca Jambatan Ilmu

            Slogan di atas jelas menunjukkan betapa pentingnya amalan membaca dalam kehidupan kita. Malahan surah Al-Alaq ayat satu hingga lima yang diturunkan Allah Taala kepada Nabi Muhammad SAW turut menyeru umat Islam supaya membaca. Keadaan ini juga turut menunjukkan kepada kita semua maslahat amalan membaca. Hal ini demikian kerana, melalui pembacaan,seseorang akan dapat meluaskan horizon pemikiran serta mampu melahirkan modal insan yang cemerlang daripada pelbagai aspek seperti saranan mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi. Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha perlu dijalankan bagi memupuk amalan membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini.

            Antara usaha yang perlu dijalankan ialah ibu bapa memberi pendidikan awal kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Ibu bapa perlu menerapkan amalan membaca dalam diri anak-anak mereka sejak mereka kecil lagi. Usaha ini dapat dilakukan dengan cara ibu bapa mengajar anak-anak membaca serta membelikan bahan bacaan yang sesuai mengikut perkembangan diri anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa membelikan buku cerita bergambar untuk anak mereka yang berumur lima tahun. Keadaan ini dapat menarik minat anak untuk membaca buku tersebut. Oleh hal yang demikian, jelalslah bahawa usaha untuk memupuk amalan membaca perlu bermula di rumah dan sejak anak-anak kecil lagi bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

            Selain itu, ibu bapa juga perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak sentiasa menuruti perbuatan kedua-dua ibu bapa mereka. Sekiranya ibu bapa melakukan sesuatu yang baik, anak akan turut melakukannya. Bagi memupuk amalan membaca, ibu bapa perlulah membaca di hadapan anak-anak mereka. Keadaan ini akan mendorong anak-anak untuk turut sama membaca dengan kedua-dua ibu bapa mereka kerana ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Jelasnya,pemupukan amalan membaca turut boleh dilakukan melalui peranan ibu bapa menjadi suri teladan dan tokoh membaca kepada anak-anak mereka.

            Bukan itu sahaja, ibu bapa turut memainkan peranan dalam memupuk amalan membaca dengan menyediakan perpustakaan mini di rumah. Perpustakaan mini tersebut perlulah dilengkapi dengan kemudahan asas seperti meja,kerusi,dan rak buku. Buku-buku yang disediakan perlulah berbentuk ilmiah serta bersesuaian dengan peringkat umur anak-anak bagi membajai minat suka membaca dalam diri mereka. Perpustakaan mini tersebut perlu digunakan oleh semua ahli keluarga termasuk ibu bapa. Ibu bapa perlu menetapkan jadual penggunaan perpustakaan mini tersebut. Contohnya, ibu bapa menetapkan hari minggu sebagai hari untuk seluruh ahli keluarga menggunakan perpustakaan mini tersebut. Oleh hal yang demikian, jelaslah kepada kita semua bahawa ibu bapa perlu mewujudkan perpustakaan mini di rumah mereka bagi memupuk amalan membaca dalam diri anak-anak.

Selain pihak ibu bapa, kerajaan turut memainkan peranan dalam memupuk amlan membaca dalam kalangan masyarakat. Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengadakan Program Nilam. Program Nilam ini bertujuan untuk menyemai sikap suka membaca dalam kalangan pelajar sekolah. Program ini telah dijalankan di semua sekolah di Malaysia tidak kira sama ada sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Program ini dijalankan dengan cara para pelajar merekodkan bahan bacaan yang telah dibaca ke dalam Buku Rekod Nilam. Program ini berjaya menarik minat pelajar untuk membaca kerana pelajar yang paling banyak membaca akan diberikan anugerah dan hadiah seperti Nur Amalina Che Bakri. Program Nilam ini dijalankan sepanjang tahun oleh pihak kerajaan dengan harapan dapat melahirkan Tokoh Nilam yang gemilang setiap tahun. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa Program Nilam yang dianjurkan oleh kerajaan turut merupakan wadah bagi memupuk amalan membaca dalam kalangan pelajar yang merupakan pemacu negara pada masa hadapan.

            Tambahan pula, kerajaan turut mengadakan Kempen Mari Membaca bagi menyemai sikap suka membaca dalam diri rakyat Malaysia. Kempen yang dijalankan berlainan dengan Program Nilam. Hal ini demikian kerana kempen yang dijalankan oleh pihak kerajaan ini mempunyai tempoh masa yang tertentu manakala Program Nilam dijalankan sepanjang tahun. Namun begitu, Kempen Mari Membaca dan Program Nilam mempunyai tujuan yang sama iaitu melahirkan masyarakat yang gemar membaca. Kempen Mari Membaca ini dijalankan di semua institusi seperti sekolah,kolej mahupun universiti. Kempen Mari Membaca mendapat mendapat liputan yang meluas daripada semua pihak termasuk media massa dan media cetak. Poster-poster Mari Membaca perlu ditampal di semua lokasi yang menjadi tumpuan masyarakat. Pelbagai aktiviti sempena kempen ini juga perlu dijalankan seperti kuiz dan pertandingan menulis esei. Aktiviti-aktiviti seperti ini pasti dapat menarik minat masyarakat untuk melibatkan diri dalam kempen ini dan keadaan sekali gus dapat mendorong mereka untuk minat membaca. Jelasnya, selain Program Nilam, kerajaan juga perlu mengadakan Kempen Mari Membaca bagi mengajak masyarakat Malaysia untuk gemar membaca dan seterusnya melahirkan masyarakat yang celik ilmu pengetahuan.

             Pihak swasta turut memikul obligasi bagi memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan rakayat Malaysia. Pihak swasta boleh memupuk amalan membaca dalam kalangan masyarakat dengan cara mengadakan pameran buku. Hal ini demikian kerana, pameran buku dapat memudahkan masyarakat untuk membeli buku di satu lokasi sahaja. Buku-buku juga perlu dijual dengan harga yang murah bagi membolehkan masyarakat sama ada yang berkemampuan mahupuan yang kurang berkemampuan membeli bahan bacaan yang sesuai. Pameran buku yang diadakan oleh pihak swasta ini bukan sahaja dapat meningkatkan minat masyarakat untuk membaca malahan dapat mengeratkan silaturahim antara mereka. Hal ini jelas kerana, rakyat akan bersama-sama bertukar bahan bacaan dan pendapat ketika mereka mengunjungi pameran buku tersebut.

            Sebagai intiha, semua pihak sama ada ibu bapa, kerajaan mahupun pihak swasta perlu memikul obligasi dan berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hal ini demikian kerana, hanya melalui pembacaan, generasi yang syumul dan celik ilmu pengetahuan mampu diwujudkan. Pihak yang berwajib tidak boleh bersikap evasif dan melaksanakan tanggungjawab sekadar melepaskan batuk di tangga kerana situasi ini akan menjejaskan masa depan generasi yang akan mengetuai tampuk pemerintahan negara.

NUR HAZEEQAH BINTI MOHD FARHADI
5 SN 1

22:57

Contoh Karangan Cemerlang SPM

Langkah-langkah Mempopularkan Permainan Tradisional


             Masyarakat Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan Melayu. Lantaran resam yang majmuk ini, maka banyak permainan tradisional yang dipertandingkan. Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Tonggak penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Keadaan ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian. Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh hal yang demikian permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat antaranya termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain. Namun begitu,akibat daripada kemajuan dunia dalam pelbagai skop,permainan ini seolah-olah dianaktirikan begitu sahaja oleh masyarakat kita. Oleh itu,pelbagai langkah yang pragmatik perlu dilaksanakan dalam usaha menggiatkan permainan tradisional pada hari ini.

             Keluarga mendukung obligasi yang dominan dalam usaha ke arah menggiatkan permainan tradisional tanah air. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghadiahi anak-anak dengan set-set permainan tradisional sebagai hadiah hari lahir iaitu congkak dan gasing. Melalui langkah ini,ternyata anak-anak akan berasa terhibur dan teruja selain dapat mengenali warisan nenek moyang kita .Pada waktu senggang, ibu bapa boleh membawa setiap ahli keluarga mereka bermain permianan tradisional ini agar anak-anak akan mempunyai semangat untuk bermain permainan ini memandangkan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Bahkan,ibu bapa juga mampu menyerapkan minat terhadap permainan ini dalam kalangan anak-anak dengan menggalakkan mereka menyertai pertandingan permainan tradisional di peringkat sekolah mahupun anjuran badan-badan bebas. Hal ini dapat  mencambahkan minat generasi muda untuk terus berkecimpung dalam tradisi permainan ini. Golongan pascamerdeka khususnya generasi baru sepatutnya menyanjung dan menjunjung warisan budaya kita persis peribahasa Melayu yang berbunyi biar mati anak,jangan mati adat. Oleh itu,setiap ahli keluarga terutamanya ibu bapa memikul tanggungjawab murni untuk mempopularkan permainan tradisional negara kita.

Selain itu,permainan tradisonal juga dapat digiatkan dengan adanya peranan daripada pihak sekolah. Pihak sekolah boleh memainkan peranan dengan menganjurkan kelab permainan tradisionald dalam aktiviti kokurikulum. Dalam hal ini,pihak sekolah perlu memastikan kelab ini bergerak secara aktif bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Pelajar sekolah perlu diberi galakkan untuk menyertai kelab ini kerana dapat didedahkan dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang boleh menjadi salah satu hobi mereka. Sebagai contoh, permainan congkak,permainan gasing dan permainan batu seremban.Bahkan, pelajar juga dapat mendominasi teknik bermain permainan warisan ini dengan tepat dan betul. Dengan itu, mereka akan lebih menguasai permainan ini kerana mereka telah belajar dengan orang yang berpengalaman dan profesional kerana jauhari jua yang mengenal manikam. Pihak sekolah boleh menjemput pihak luar seperti orang perseorangan yang mahir dalam sesuatu permainan tradisonal untuk mengajar asas dan teknik permainan. Pelajar akan dibimbing secara efektif dengan pihak yang berkemahiran itu.Sebagai contoh, dalam permainan congkak, pelajar dapat mengetahui  tentang guli yang dikenali sebagai buah dan kawasan pemain dikenali sebagai rumah. Pihak sekolah juga boleh menggiatkan permainan tradisional dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan lebih banyak alatan permainan ini. Hal ini mencerminkan dengan jelas sekiranya mereka sukar mendapatkan permainan ini,minat mereka mulai pudar dan beranggapan peluang untuk mendekatkan diri dengan permainan amat nipis. Alatan permainan tradisonal juga sukar diperoleh di pasaran dan kebiasaannya amat terhad. Pelajar akan menemui kesukaran untuk membeli alatan permainan pusaka nenek moyang ini. Dengan cara membeli alatan permainan ini terus daripada kilang,kos untuk membelinya menjadi bertambah murah. Dengan itu, pihak sekolah dapat membelinya dalam kuantiti borong yang banyak. Dengan adanya pelbagai permainan tradisional yang dibekalkan oleh pihak sekolah,pelajar akan berminat  untuk bermain permainan ini. Bukan sahaja pelajar yang menyertai kelab ini,bahkan semua pelajar boleh mencuba untuk bermain permainan tradisional ini. Masalah seperti kekurangan peralatan untuk bermain tidak akan timbul lagi. Pihak sekolah juga boleh menjadi pendukung utama dalam mempopularkan permainan tradisonal dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan tempat-tempat permainan ini. Hal ini akan memudahkan mereka untuk bermain dalam suasana yang selesa dan kondusif. Mereka menyediakan padang untuk bermain gasing dan kawasan yang luas untuk bermain wau. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk menggiatkan permainan dalam kalangan masyarakat dapat dilaksanakan dengan adanya peranan pihak sekolah dalam memikul obligasi tersebut kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Dalam fasa itu,masyarakat memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam menjayakan usaha ini. Pihak masyarakat wajar memberikan sokongan terhadap permainan tradisional dengan menubuhkan kelab permainan tradisonal di tempat tinggal. Dengan wujudnya kelab-kelab seperti ini seperti kelab sepak raga,kelab congkak dan kelab wau, usaha untuk membaja kembali permainan ini akan menjadi lebih mapan. Hal ini demikian kerana dengan adanya kelompok besar masyarakat yang memperjuangkan warisan ini, permainan tradisional tidak akan lapuk dek hujan,tidak akan lekang dek panas. Hal ini berbeza sekiranya perjuangan mempertahankan permainan hanya mengharapkan sebilangan kecil rakyat Malaysia kerana sebatang lidi amat mudah dipatah-patahkan berbanding seberkas lidi. Pastinya,dengan penglibatan bilangan komuniti yang ramai,usaha untuk mempopularkan permainan nenek moyang ini tidak akan menjadi sekadar hangat-hangat tahi ayam. Tambahan lagi, masyarakat perlu berusaha untuk mewujudkan tapak permainan tradisional di kawasan perumahan mereka. Hal ini dapat menarik perhatian penduduk sekitar beriadah sambil memainkan permainan ini. Pelbagai pertandingan berkisarkan permainan tradisional dapat dianjurkan di tapak itu bagi mengelakkan permainan ini daripada terus berkubur begitu sahaj tanpa mendapat sebarang pembelaan. Oleh hal yang demikian, pihak masyarakat perlu berganding bahu dalam mengetengahkan permainan tradisional agar permainan ini akan terus utuh berdiri dalam arus perdana.

Langkah yang paling afdal bagi memajukan permainan tradisional ialah kerajaan hendaklah mengadakan lebih banyak lagi kempen dan promosi yang progresif menerusi media massa serta media cetak bagi mendedahkan masyarakat  tentang peri pentingnya kita menjaga warisan nenek moyang kita iaitu permainan tradisional yang sudah lama wujud di negara kita ini. Kita acap kali diperdengarkan mengenai peribahasa yang berbunyi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman. Dengan itu, Kementerian Warisan dan Kebudayaan telah mengambil langkah bagi mempopularkannya dengan mengadakan kempen seperti kempen “Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan ‘Festival Layang –Layang Antarabangsa’ yang merupakan rencah maslahat untuk memajukannya. Langkah tersebut penting supaya ahli masyarakat tidak kira dari dalam negara mahupun  luar negara mendapat pendedahan dan mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak kenal, maka tak cinta. Bukan itu sahaja, kerajaan juga boleh menetapkan satu bulan sebagai ‘Bulan Permainan tradisional’.Oleh hal yang demikian,dengan adanya langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.

            Minat yang mendalam terhadap permainan tradisional seperti wau,layang-layang,sepak raga, gasing dan sebagainya tidak mencukupi sekiranya tiada kemudahan untuk memainkannya.Bagi menangani isu ini, kerajaan haruslah menyediakan lebih banyak tempat atau gelanggang permainan tradisional untuk memudahkan rakyat  bermain permainan ini. Pembinaannya pula hendaklah di tempat-tempat yang strategik seperti di sekitar taman perumahan supaya setiap lapisan masyaarkat lebih-lebih lagi golongan belia dapat menghabiskan waktu senggang mereka dengan bermain permainan tradisional. Selain itu,jurulatih yang terlatih juga patut disediakan di setiap gelanggang bagi mendidik para pemain tentang cara-cara sebenar untuk memainkannya. Gandingan kedua-dua ini dapat menambahkan bilangan peminat permainan tradisional di seluruh negara sekali gus mempopularkannya di mata dunia. Sekolah juga memainkan peranan penting dalam memajukan permainan tradisional ini. Oleh itu, kerajaan boleh menetapkan pemainan tradisional sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah. Kelab Permainan Tradisional juga boleh ditubuhkan serta pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional sebagai salah satu acara dalam sukan. Kerjasama yang erat antara kaum ibarat aur dengan tebing dalam permainan ini  dapat meningkatkan perpaduan dan merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain sekali gus visi kudsi 1 Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perpaduan dapat digarap sepenuhnya.

            Secara tuntas, pelbagai pihak memainkan peranan yang sepada dalam usaha mempopularkan permainan tradisional. Oleh itu, mereka perlulah mengambi langkah yang vital,imperatif ,kritis dan pragmatik supaya dapat memanifestasikan generasi pelapis negara yang tidak akan lupa akan warisan mereka ibarat kacang lupakan kulit. Generasi pada hari ini perlu digarap agar menghargai dan menjunjungi pusaka warisan mereka sejak dari rebung lagi. Barulah warisan permainan tradisional akan terus hidup subur dalam kehidupan masyarakat kita. Generasi muda perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan warisan ini tidak hanyut ditelan zaman. Sekarang tibalah waktunya anak-anak remaja yang merupakan generasi penggerak wawasan menimba sebanyak ilmu pengetahuan agar dapat digunakan dalam usaha memelihara permainan tradisional ini pada masa akan datang. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagai lebah menghimpun madu,agar impian ini tidak akan dipersia-siakan begitu sahaja dan terus dapat dihidupkan dari semasa ke semasa.

Hasil cetusan idea: (Khairunnisak bt Hassni,Nur Baiti bt Mohd Aini,Ida Nur Izzaty bt
                                Ikhwan Goh dan Siti Hawa bt Mahfar – 5Sains 1)

22:56

Contoh Karangan Cemerlang SPM

 KEPENTINGAN AKTIVITI BERIADAH DAN REKREASI


                                          Harum sudah cempaka hiasan,
                                          Berpuput semilir laungan jiwa,
                                          Aktiviti riadah pencetus wawasan,
                                          Pastinya lahir nusa wibawa


            Pantun di atas jelas mengetengahkan kepada kita betapa pentingnya aktiviti riadah. Mengapakah aktiviti riadah kembali diperhangatkan dan menjadi polemik perbualan masyarakat? Marcapada ini,seiring dengan era globalisasi yang penuh dengan cabaran ini, masyarakat kita sering berlumba-lumba mengejar unsur kemewahan. Tanggapan kekayaan merupakan kunci kepada segala kesenangan sudah sebati dalam kehidupan mereka sehingga mereka alpa akan kepentingan aktiviti riadah yang menjadi salah satu amalan dalam mempraktikkan gaya hidup sihat. Sesungguhnya, aktivit rekreasi dan riadah yang boleh didefinsikan sebagai segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan tubuh badan dan fikiran merupakan elemen yang penting dalam menjayakan segala aktiviti dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, kita perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi sebelum nasi menjadi bubur.

Pertama, aktiviti riadah dan rekreasi boleh menyihatkan tubuh badan kita. Hal ini demikian kerana apabila kita beriadah,kadar lemak yang terkumpul di dalam badan manusia boleh dikurangkan. Contohnya, kita boleh berjoging pada waktu lapang,terlibat dalam aktiviti senamrobik atau berkayak dan sebagainya. Tambahan lagi, jantung dapat mengepam darah dengan lancar. Secara tidak langsung, pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi dapat dihindarkan secara total .Dalam konteks ini, berekreasi dan beriadah  adalah penting supaya badan kita sihat dan otak kita cerdas bak kata peribahasa Melayu, badan cergas otak cerdas.Oleh itu,kita perlu menjadikan aktiviti riadah dan rekreasi sebagai agenda harian agar kesihatan badan yang hakiki dapat dinikmati kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

            Menyingkap daripada sudut perspektif lain, aktiviti riadah yang dilakukan pada setiap minggu mampu menjadi pemangkin untuk mengurangkan tekanan dalam diri seseorang.Bayangkan jika individu terbabit perlu bekerja selama 60 jam dalam 5 hari,bukankah mereka akan mula mengalami tertekan? Kepenatan,keletihan dan beban kerja yang memberatkan akan menyebabkan mereka menunjukkan simptom-simptom tekanan seperti mudah marah,letih,lesu dan tidak bersemangat. Hal ini demikian akan menyebabkan prestasi mereka sama ada di tempat kerja mahupun sekolah mengalami kemerosotan dan mengundang pelbagai impak negatif seperti mendapat teguran daripada pihak atasan,dilucutkan jawatan dan sebagainya. Dengan aktivitinya riadah,hal ini akan membolehkan kita melakukan aktiviti yang kita gemar. Hal ini menjadi cara yang efektif untuk menghiburkan kita. Kita dapat melupakan beban yang ditanggung dan menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, wajarlah aktiviti riadah dipraktikkan dalam kehidupan kita untuk mengurangkan tekanan yang dialami.

            Sementelahan pula, melakukan aktiviti riadah turut memberi peluang kepada kita untuk mengeratkan hubungan antara keluarga mahupun taulan. Hal ini dapat menjadi medium ke arah pembentukan keluarga sakinah.Misalnya, pada hujung minggu, seisi keluarga boleh turun padang untuk melakukan aktiviti riadah bersama-sama sama ada di taman atau padang. Bukan itu sahaja, ahli keluarga boleh berkongsi pandangan ,pendapat dan masalah sepanjang masa mereka bersama-sama. Dengan itu,setiap ahli keluarga boleh memahami antara satu sama lain seterusnya merapatkan jurang antara mereka. Keseronokan melaukan aktiviti riadah juga akan lebih dinikmati dengan adanya orang yang disayangi di sisi kita. Dalam hal ini kita akan menjadi lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk melakukan aktiviti riadah. Oleh itu, hubungan kekeluargaan yang erat dapat dilahirkan dengan melakukan aktiviti riadah.

Selain itu,aktiviti beriadah juga dapat membentuk integrasi kaum. Marcapada ini,kita acap kali melihat pelbagai aktiviti riadah yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum khususnya aktiviti yang berkaitan dengan Program Latihan Khidmat Negara. Contohnya aktiviti berkayak,mendaki gunung dan meluncur. Kondusi ini akan memanifestasikan elemen kesepakatan dalam kumpulan masing-masing.  Sesungguhnya, muafakat merupakan inti kepada perpaduan.Setiap ahli akan bersatu ibarat kata peribahasa Melayu, serumpun bagai serai,selubang bagai tebu. Hal ini dapat menjadi medium yang efektif bagi menyatukan kaum sekali gus membina semangat perpaduan. Oleh hal yang demikian,aktiviti riadah yang melibatkan unsur kerjasama ibarat aur dan tebing dapat menjadi wahana ke arah pembentukan integrasi kaum.

            Dalam fasa itu, kebaikan aktiviti beriadah yang dapat dinikmati ialah mengelakkan remaja daripada terlibat dalam masalah sosial. Hal ini demikian kerana masa lapang remaja dapat diisi dengan aktiviti yang menghiburkan dan menyeronokkan kerana masa itu emas. Masa senggang seorang remaja agak banyak kerana tidak perlu menanggung tanggungjawab seperti orang dewasa.  Seandainya  masa lapang itu tidak dipenuhi secara bijaksana,remaja akan terjerumus untuk mendorong diri melakukan aktiviti yang kurang berfaedah seperti melepak,bermain komputer tanpa batasan dan berbual-bual kosong ibarat menghitung bulu kambing. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti riadah,mereka tidak akan melakukan aktiviti yang kurang berfaedah kerana telah merasai keseronokan aktiviti riadah, bak kata peribahasa Melayu sambil menyelam minum air. Oleh itu, remaja dapat menghindarkan daripada terlibat dalam masalah sosial dengan melakukan aktiviti riadah.


            Secara tuntas,kita perlu mencapai kesedaran yang tinggi dalam usaha mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi. Semua pihak perlu berganding bahu ibarat aur dengan tebing bagi menanamkan kesedaran dalam diri masyarakat mengenai kepentingan aktiviti riadah dan rekreasi dalam kehidupan seharian bagi melahirkan generasi masa hadapan yang sihat seterusnya menjadi penyumbang kepada kemajuan negara.
Disediakan oleh: Khairunnisak bt Hassni,Ida Nur Izzaty bt IKhwan Goh,Siti Hawa bt Mahfar dan Nur Baiti Bt Mohd.Aini (5 Sc 1)

19:57

Persidangan Bahasa Melayu Antarabangsa di Terengganu (13 - 16 Mac 2011)

Bersama-sama Puan Mahnita dan Puan Raihana

Penulis blog bersama Puan Arnita

Sedang mendengar penerangan daripada urusetia persidangan

Kain rentang berkaitan persidangan

Menerima sijil penyertaan untuk negeri Johor
Bersama rakan-rakan di persisiran pantai Terengganu



Di bilik persidangan



19:45

Ulasan Cerpen Israk


                    ULASAN CERPEN   ISRAK  :  ERDA ROSLAN KHAIRY


A.    Sinopsis

           Cerpen ini  mengisahkan  seorang lelaki bernama Adam yang membawa isterinya,Siti Hawa,dan dua orang anaknya iaitu Israk dan Mikraj ke rumah ibunya di Kampung Sayong tidak jauh dari Sungai Perak. Isteri Adam menyedari bahawa anak-anaknya agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan suasana kampung terutamanya Israk.Hal ini disebabkan mereka menetap agak lama di Perth dan anak-anak mereka dibesarkan di sana. Mereka sekeluarga cuba belajar menyesuaikan diri dengan suasana dan kehidupan kampung yang serba kekurangan. Israk tidak mahu mencuba makan buah durian,jering dan tempoyak. Israk juga menunjukkan kebenciannya tinggal di rumah neneknya,Wah yang serba kekurangan itu berbanding dengan rumahnya di bandar. Kekurangan yang terdapat di rumah Wah menyebabkan Israk sentiasa berselisih pendapat dengan adiknya,Mikraj. Hal ini disedari oleh Wah dan Wah menasihati mereka berdua agar tidak seperti anjing dengan kucing. Pada 4 Oktober yang lalu,beberapa orang dari Majlis Daerah datang ke rumah Wah untuk membeli rumah Wah yang akan dijadikan sebagai pusat pelancongan,tetapi Wah dengan bantuan Lebai Saleh telah menolak tawaran itu dengan baik.

           Pada suatu pagi,bekalan air paip di rumah Wah telah terputus menyebabkan Mikraj telah menyuruh Israk mandi di sungai.  Malangnya,ketika melalui rimbunan semak untuk ke sungai,Israk telah terjatuh ke dalam sungai. Wah dengan pantas menghulurkan sebatang kayu kepada Israk. Pada ketika itu Israk hanya berpaut pada tali sauh yang sudah reput. Israk terselamat namun kakinya berdarah. Pada malam itu,Israk lambat keluar dari biliknya. Apabila dia keluar,semua orang terkejut apabila melihat dia memakai baju Melayu namun Israk bersikap selamba sahaja. Mereka semakin terkejut apabila Israk meminta jering dan tempoyak daripada ibunya.

B.   TEMA DAN PERSOALAN

Tema

        Cerpen ini bertemakan perasaan tidak selesa warga kota terhadap suasana dan kehidupan di kampung. Sebagai contoh,Israk berasa tidak selesa tinggal di kampung neneknya yang serba kekurangan berbanding keadaan di kota yang lengkap segala-galanya.  

Persoalan:
a)    Merapatkan hubungan yang telah terputus
Contohnya, Adam membawa isteri dan kedua-dua anaknya ke kampung supaya silaturahim dengan neneknya Wah tidak putus.

b)    Sikap adik-beradik yang tidak sehaluan.
Contohnya, Israk dan adiknya Mikraj tidak sependapat menyebabkan mereka sering bertengkar.

c)     Pengalaman dapat mengubah sikap seseorang
Contohnya, Israk akhirnya mengubah sikapnya dengan makan jering dan tempoyak apabila menyedari kebaikan neneknya yang sanggup menyelamatkannya.

d)    Ketabahan hati dalam menempuh cabaran hidup
Contohnya,Wah begitu tabah membesarkan Adam walaupun tanpa suami di sisi.

C.   PLOT

Semua peristiwa dalam cerpen ini tidak disusun secara kronologi. Terdapat imbas kembali sejarah hidup Wah yang berkahwin dengan suaminya,Firdaus Frank sehinggalah peristiwa kedatangan orang-orang dari Majlis Daerah untuk membeli rumah Wah untuk dijadikan pusat pelancongan.
      
a)    Cerita dimulakan dengan kedatangan Adam bersama-sama isteri dan kedua-dua orang anaknya,Israk dan Mikraj ke rumah Wah di Kampung Sayong.

b)    Pada pertengahan cerita, berlaku konflik antara Israk yang tidak mampu menyesuaikan diri di kampung dengan adiknya Mikraj yang boleh menerima keadaan kampung dan corak hidup masyarakat kampung.


c)    Plot mencapai klimaks ketika Israk terjatuh ke dalam sungai dan Wah pula berusaha untuk menyelamatkan cucunya,dengan menghulurkan sebatang kayu kepada Israk.

d)    Pada peringkat peleraian,Israk berjaya diselamatkan. Pada ketika itu,Israk telah mula menyedari akan pengorbanan seorang nenek yang tinggal di kampung. Dia mula mengubah sikapnya dengan memakai baju Melayu dan ingin makan jering dan tempoyak.





D.   WATAK DAN PERWATAKAN

a)    Wah

-       Ibu kepada Adam dan nenek kepada Israk dan Mikraj
-       Sudah tua dan tinggal bersendirian di kampung.
-       Seorang wanita yang tabah menempuh dugaan membesarkan anaknya walaupun tanpa suami di sisi.
-       Berpegang teguh pada amanah arwah ibunya dan tidak mahu menjualkan rumah itu kepada Majlis Daerah.
-       Tidak mudah berkecil hati dengan sikap cucunya Israk yang seolah-olah menghina cara hidup di kampung.
-       Berusaha untuk menyelamatkan cucunya yang terjatuh
ke dalam sungai.

b)  Israk

-       anak Adam dan cucu kepada Wah
-       Berlagak sombong dan suka bermain gitar.
-       Tidak menghormati orang yang lebih tua.Sebagai contoh,dia menepis tangan Wah apabila Wah mengusap kepalanya.
-       Mementingkan diri dan tidak mempedulikan perasaan orang lain.
-      Berubah sikap setelah diselamatkan oleh Wah.
c)    Mikraj
 
-       Adik kepada Israk.
-       Mudah menyesuaikan diri dengan keadaan kampung.
-       Meminati seni sastera.
-       Suka menegur sikap abangnya yang tidak suka hidup di kampung.
       
E.    LATAR

a)      Latar tempat:
-       Rumah Wah di Kampung Sayong.
-       Sungai,tempat Wah menyelamatkan Israk yang terjatuh ke dalam sungai.

b)      Latar masa:
-       Masa sekarang,siang dan awal pagi.

       c)     Latar masyarakat:
-      Masyarakat kampung yang sedar akan asal usulnya.
Contohnya, Adam membawa pulang isteri dan anak-anaknya untuk bertemu dengan Wah.
-       Masyarakat bandar yang memperlekeh kehidupan di
Kampung.Contohnya,Israk yang tidak suka makan durian,jering dan tempoyak.
-       Masyarakat bandar yang suka akan kehidupan di
kampung.Contohnya,Mikraj suka tinggal di kampung dan menasihati abangnya agar mencintai suasana kampung.

F.    GAYA BAHASA
 
a)      Bahasa Inggeris    :   Contohnya,  youghurt
b)      Bahasa Arab         :   Contohnya,Wallahualam,al-Maidah
c)      Sinkope                 :   Contohnya,tak,nak,aje,ni
d)      Hiperbola               :   Contohnya,Wah berasa rendah diri serendah
                                          mutiara di lautan
e)    Simile                     :   Contohnya,  Dia bagaikan gunung berapi
                                          pendam,airnya pula macam air Sungai Kelang
                                          laksana seorang primadona
f)     Personifikasi          :   Contohnya,langsir menjilat lantai kayu merbau
g)    Metafora                :   Contohnya, pucuk hati
h)    Perumpamaan      :  Contohnya,carik-carik bulu ayam bercantum jua  
                                        akhirnya, macam anjing dengan kucing
i)     Kata ganda           :  Contohnya, dalam-dalam,akhir-akhir,cucu-cucu  



G.   SUDUT PANDANGAN

-       Pengarang menggunakan sudut pandangan orang ketiga
ketika menyampaikan cerita.
-       Pengarang berada di luar lingkungan cerita.
-       Pengarang tidak menumpukan cerita pada watak Wah semata-mata tetapi dia juga menggambarkan watak Israk dan Mikraj dengan terperinci.

H.   NILAI

        a)Kasih sayang    : Contohnya,Wah sangat menyayangi anak
                                        dan cucu-cucunya.

          b)Tabah               : Contohnya,Wah tabah menghadapi ujian  
                                        ketika dia mengandungkan Adam
                                        sehinggalah suaminya meninggal dunia.


         c) Pengorbanan   :Contohnya,Wah sanggup memberanikan
                                       diri menyelamatkan Israk yang terjatuh
                                       ke dalam sungai.

        d) Kesabaran       : Contohnya,Wah sentiasa sabar
                                       menghadapi kerenah Israk.

        e) Bersyukur        : Contohnya, Adam bersyukur dengan
                                      segala limpah rezeki yang dikurniakan
                                      Tuhan.

        f) Menghormati    : Contohnya,Mikraj amat menghormati Wah.
            orang tua

        g) Keberanian      : Contohnya,Wah begitu berani menyelamat-
                                       kan nyawa Israk dengan menghulurkan
                                       sebatang kayu.

I.      PENGAJARAN

a)      Kita mestilah menghargai makanan tradisional.
b)      Adik-beradik hendaklah berbaik-baik antara satu sama lain.
c)      Kita mestilah menghormati orang tua.
d)      Kita hendaklah bijak menyesuaikan diri di tempat baru.
e)      Kita hendaklah bersabar menghadapi cabaran hidup.
f)       Kita mestilah menyayangi ibu kita yang telah membesarkan kita.
g)      Janganlah kita lupa akan asal-usul kita.
h)      Janganlah kita bersikap bodoh sombong.