19:34

Contoh Karangan Cemerlang SPM

                


Usaha-usaha Mengurangkan Kadar  Kemalangan Jalan Raya

Rangka isi:


·            Pengguna perlu mematuhi peraturan jalan raya.


·           Ibu bapa menjadi contoh kepada anak-anak ketika berada di jalan raya.


·           Sekolah memperkenalkan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya.


·            Media massa menyiarkan  dokumentari berkaitan kemalangan jalan raya untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya.


·            Kerajaan  menjalankan kempen-kempen secara berterusan.

                                                  
Contoh Karangan:

Kemalangan jalan raya sering berlaku di negara kita. Setiap hari,kita boleh membaca berita berkaitan kemalangan di  surat khabar. Kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku pada musim perayaan. Banyak nyawa yang telah terkorban dalam kemalangan tersebut. Terdapat pelbagai usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya..

Antara usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah pemandu mesti memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik. Mereka perlu sentiasa menghantar kenderaan masing-masing untuk diservis. Kenderaan yang baik boleh menjamin keselamatan pemandu dan penumpang ketika di jalan raya. Sebaliknya, kenderaan yang tidak diservis boleh mengakibatkan kenderaan tidak dapat dikawal semasa berlaku kecemasan. Sebagai contoh, kenderaan yang rosak breknya tidak dapat diberhentikan dengan selamat.Oleh itu,keadaan kenderaan yang baik dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Selain itu,ibu bapa juga boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Ibu bapa boleh menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Mereka perlu mematuhi peraturan jalan raya seperti memakai topi keledar ketika menunggang motosikal. Ibu bapa juga perlu memandu kenderaan mengikut had laju yang ditetapkan.Dengan itu,anak-anak akan mencontohi amalan yang baik itu. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sememangnya berperanan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

          Sekolah juga mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Sekolah boleh melaksanakan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya. Para pelajar akan diberi pendedahan tentang  hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya sejak kecil lagi kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Seterusnya, mereka akan menggunakan ilmu yang dipelajari di sekolah dan menjadi pengguna jalan raya yang berhemah.Oleh itu, pendidikan di sekolah boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

           Di samping itu,media massa juga boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Media massa seperti televisyen boleh menyiarkan dokumentari berkaitan kemalangan jalan raya.Penonton akan menjadikan peristiwa kemalangan yang ditonton sebagai pengajaran. Dengan itu,mereka tidak akan melakukan kesalahan-kesalahan jalan raya seperti memandu dengan laju dan menggunakan  telefon ketika memandu. Tindakan ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.

Seterusnya, kerajaan boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah dengan mengadakan pelbagai kempen keselamatan jalan raya secara berterusan.. Antara kempen yang telah diadakan ialah Kempen Berhati-hati di Jalan Raya. Kempen ini sangat penting untuk mengubah sikap pemandu agar lebih berhati-hati di jalan raya. Kempen ini boleh dijalankan di sekolah dan disiarkan melalui televisyen. Oleh itu,melalui kempen yang berterusan yang dijalankan oleh kerajaan  dapat mengurangkan kemalangan jalan raya.


Kesimpulannya,kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Kadar kemalangan  jalan raya boleh dielakkan dengan wujudnya kerjasama daripada pelbagai pihak. Setiap pihak bertanggungjawab melaksanakan usaha-usaha tersebut dengan bersungguh-sungguh.Dengan ini, kemalangan sifar dapat dijadikan kenyataan. Hal ini bertepatan dengan slogan,Pandu Cermat Jiwa Selamat.

1 comments:

smiggle1504 said...

berapa perkataan karangan ini ?

Post a Comment