Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang
mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa
ibarat seikat bak sirih serumpun bak
serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan
bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan
berurusan antara satu sama lain. Namun ada lakaran suram yang menyelubungi kita
bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak
kempen dan usaha telah dijalankan oleh
pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana
semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Sebenarnya
semangat kejiranan dapat memupuk
kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama
ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai
aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti
kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat
mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka
akan lebih mesra, saling membantu bagai
aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan.
Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk
kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang
kukuh dan ampuh.
Selain
itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu
padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika
masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan
kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat
memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh
mempelajari perbezaan budaya dan sistem
sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat
bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan
penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat
memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.
Di
samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai
program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan
apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan
pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa
sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman
dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh
pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama.
Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan
infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai
raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif,
semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di
sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi
membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai
kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang
berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat
berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan
melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen
penting dan vital yang membantu
melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara . Melalui
hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai
patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur
gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun
menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling jelas, dan atas sokongan rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan
pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang dengan
penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia
membolehkan mereka melakukan sesuatu hal
dan perkara yang amat hebat bagi melaonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.
Semangat
kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum
juga penting sebagai produk pelancongan.
Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan
kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang
menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya,
perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya
ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan,
Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan
masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut .
Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap
Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran
dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang
begitu memberangsangkan kepada negara.
Intihanya,
semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya
masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan
masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat
kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan
rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi
memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan
datang kerana rakyatnya yang bersahsiah
terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu
negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.
0 comments:
Post a Comment