08:37

Kepentingan Memiliki Ilmu Pengetahuan


                                Bunga Melati di celah baju,
                                Baju diletak di tepi balai,
                                Rakyat berilmu negara maju,
                                Aset negara tidak ternilai .

          Nabi Muhammad pernah bersabda, tuntutlah ilmu sampai ke negerti China. Sabda junjungan besar umat Islam itu menerangkan kepentingan memiliki ilmu pengetahuan. Melalui ilmu pengetahuan, negara yang maju akan dapat dibina, bertepatan seperti serangkap pantun di atas. Namun, generasi masa ini yang menjadi aset negara begitu memandang enteng akan kepentingan ilmu. Mereka lebih gemar berfoya-foya dan menghabiskan usia muda dengan berseronok tanpa menyedari bahawa ilmu merupakan bekalan pada masa hadapan. Pernahkah anda mendengar slogan “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara?” Slogan ini memperlihatkan kepentingan generasi yang berilmu untuk mengemudi pelayaran negara menuju ke arah status negara maju. Jika pada suatu masa nanti generasi yang tidak berilmu mengambil alih tampuk pemerintahan negara, apakah yang akan terjadi kepada negara kita. Lebih parah dan menakutkan lagi, negara kita akan dijajah dan diancam negara lain, sekali lagi. Saya sebagai salah seorang remaja yang bakal memimpin negara atau mempersiapkan diri untuk menjadi generasi yang berilmu agar keharmonian, keselamatan, kemajuan dan kesejahteraan negara yang saya cintai ini dapat terus dinikmati. Persoalannya, apakah peranan yang boleh saya mainkan untuk menjadi generasi yang berilmu?
          Norman Vince Pale, seorang ahli falsafah Barat pernah berkata, masalah merupakan tanda kehidupan. Semakin banyak masalah dan cabaran yang kita hadapi, semakin hidup jiwa kita. Kata-kata falsafah itu menggambarkan bahawa terdapat pelbagai peranan yang boleh saya mainkan untuk mengatasi masalah generasi tidak berilmu.
          Antaranya, saya perlu banyak membaca bahan-bahan bacaan yang berilmiah untuk meluaskan pengetahuan saya, selain dapat mengisi masa senggang. Hal ini demikian kerana membaca jambatan ilmu. Seorang cendekiawan Barat, Mendelir Salamander pernah mengatakan bahawa buku merupakan wahana paling baik untuk seseorang itu menambahkan ilmu pengetahuannya. Sebagai contoh, terdapat pelbagai jenis bahan yang sesuai dijaikan meium penambah ilmu seperti majalah, ensiklopedia dan bahan-bahan bacaan fiksyen. Antara contoh bahan bacaan yang berilmiah adalah seperti Dewan Siswa, Dewan Masyarakat, Tunas Cipta, Ensiklopedia Sains Jacaranda dan sebagainya. Contohnya, Ensiklopeia Sains Jacaranda dapat menambahkan ilmu tentang fenomena-fenomena sains yang berlaku di sekeliling kita. Selain itu, novel Zahrah de Tigris karya Khairyn Othman dapat memberi kita sedikit gambaran tentang kehidupan seorang sukarelawan yang berkhidmat di negara bergolak, Palestin. Jelaslah di sini bahawa salah satu peranan saya untuk menjadi generasi yang berilmu adalah memperbanyakkan aktiviti bacaan.
          Selain itu, saya juga berperanan untuk mengunjungi pesta buku dan perpustakaan demi mempersiapkan diri untuk menjadi generasi yang berilmu. Jika mengimbas kembali statistik yang pernah didedahkan Perpustakaan Negara Malaysia bahawa masyarakat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun,  sudah terang lagi bersuluh bahawa masyarakat Malaysia begitu kurang membaca, sekaligus kurang berilmu. Pihak kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah ini, iaitu dengan menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa yang diadakan pada bulan April saban tahun dan bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra. Terdapat pelbagai jenis buku yang dipamerkan dan dijual di situ. Saya tidak melepaskan kesempatan ini untuk berkunjung ke sana dan membeli beberapa buah buku, sekaligus menambah koleksi bahan bacaan saya. Saya juga akan sentiasa berkunjung ke perpustakaan kerana perpustakaan adalah gedung ilmu. Sudah terang lagi bersuluh bahawa mengunjungi pesta buku dan perpustakaan dapat membantu saya menjadi generasi yang berilmu.
          Seterusnya, saya juga akan menggunakan kemudahan jalur lebar seperti Internet untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Umum mengetahui bahawa kemudahan seperti Internet lebih membawa kepada keburukan daripada kebaikan. Namun, saya sebagai generasi yanng bertamadun dan berwawasan akan menggunakan Internet untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Melalui Internet, saya akan dapat mengetahui fenomena-fenomena alam, binaan-binaan yang menakjubkan seperti piramid di Mesir dan melihat telatah dan cara kehidupan pelbagai jenis haiwan. Remaja masa ini telah melakukan pembaziran tenaga elektrik dan masa dengan menyalahgunakan kemuahan Internet untuk menonton filem-filem porno dan menghabiskan terlalu banyak masa di laman sosial. Alangkah beruntungnya jika masa yang diperuntukkan untuk bersembang di laman sosial digunakan untuk mencari ilmu. Tepuk dada tanya selera.
          Di samping itu, saya akan menyediakan sudut bacaan di bilik saya untuk memudahkan aktiviti bacaan saya tanpa sebarang gangguan. Semua bahan bacaan saya akan diasingkan mengikut kategori seperti majalah, novel dan ensiklopedia. Oleh itu, proses untuk menjadi generasi yang berilmu akan berjalan lancar an saya bebas untuk membaca dan meningkatkan ilmu. Jika para remaja lain lebih gemar menghias bilik mereka dengan poster artis pujaan, saya akan menghias bilik saya dengan buku-buku bertepatan seperti slogan yang dilaung-laungkan pihak Kementerian Pelajaran malaysia, “Kawanku Buku.”
          Selain itu, saya juga akan menghadiri ceramah atau bengkel-bengkel yang dapat membantu saya memperkaya ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana, saya dapat menambah pengalaman selain menambah ilmu. Sebagai contoh, Kem Sahabat Alam yang dianjurkan oleh majalah Anis telah mendidik saya agar mencintai alam sekitar selain dapat menambahkan ilmu tentang spesies-spesies pokok yang mewarnai hutan kita. Selain itu, ceramah yang dianjurkan oleh pihak Hospital Pakar Sultanah Fatimah yang diadakan pada setiap hari Ahad telah menambahkan  ilmu saya tentang kesihatan tubuh badan manusia. Sesungguhnya, dengan menghadiri ceramah dan bengkel-bengkel yang dianjurkan oleh pelbagai pihak, saya dapat mempersiapkan diri untuk menjadi generasi yang berilmu.
          Akhirulkalam, terdapat pelbagai peranan yang boleh saya mainkan untuk menjadi generasi yang berilmu. Saya berharap agar usaha-usaha tersebut dapat membantu saya menjadi generasi yang berilmu dan berwawasan demi menjadi pemimpin negara yang cemerlang dan mengemudi pelayaran negara ke arah status negara maju.

                                                                             Farha Wahidah bt Bahruddin
                                                                                      5 Sains 1/ 2011

0 comments:

Post a Comment