08:58

Bahagian A - Kebaikan Aktiviti Riadah Dan Rekreasi


                                          Harum sudah cempaka hiasan,
                                          Berpuput semilir laungan jiwa,
                                          Aktiviti riadah pencetus wawasan,
                                          Pastinya lahir nusa wibawa

            Pantun di atas jelas mengetengahkan kepada kita betapa pentingnya aktiviti riadah. Mengapakah aktiviti riadah kembali diperhangatkan dan menjadi polemik perbualan masyarakat? Marcapada ini,seiring dengan era globalisasi yang penuh dengan cabaran ini, masyarakat kita sering berlumba-lumba mengejar unsur kemewahan. Tanggapan kekayaan merupakan kunci kepada segala kesenangan sudah sebati dalam kehidupan mereka sehingga mereka alpa akan kepentingan aktiviti riadah yang menjadi salah satu amalan dalam mempraktikkan gaya hidup sihat. Sesungguhnya, aktivit rekreasi dan riadah yang boleh didefinsikan sebagai segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan tubuh badan dan fikiran merupakan elemen yang penting dalam menjayakan segala aktiviti dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, kita perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi sebelum nasi menjadi bubur.

Pertama, aktiviti riadah dan rekreasi boleh menyihatkan tubuh badan kita. Hal ini demikian kerana apabila kita beriadah,kadar lemak yang terkumpul di dalam badan manusia boleh dikurangkan. Contohnya, kita boleh berjoging pada waktu lapang,terlibat dalam aktiviti senamrobik atau berkayak dan sebagainya. Tambahan lagi, jantung dapat mengepam darah dengan lancar. Secara tidak langsung, pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi dapat dihindarkan secara total .Dalam konteks ini, berekreasi dan beriadah  adalah penting supaya badan kita sihat dan otak kita cerdas bak kata peribahasa Melayu, badan cergas otak cerdas.Oleh itu,kita perlu menjadikan aktiviti riadah dan rekreasi sebagai agenda harian agar kesihatan badan yang hakiki dapat dinikmati kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

            Menyingkap daripada sudut perspektif lain, aktiviti riadah yang dilakukan pada setiap minggu mampu menjadi pemangkin untuk mengurangkan tekanan dalam diri seseorang.Bayangkan jika individu terbabit perlu bekerja selama 60 jam dalam 5 hari,bukankah mereka akan mula mengalami tertekan? Kepenatan,keletihan dan beban kerja yang memberatkan akan menyebabkan mereka menunjukkan simptom-simptom tekanan seperti mudah marah,letih,lesu dan tidak bersemangat. Hal ini demikian akan menyebabkan prestasi mereka sama ada di tempat kerja mahupun sekolah mengalami kemerosotan dan mengundang pelbagai impak negatif seperti mendapat teguran daripada pihak atasan,dilucutkan jawatan dan sebagainya. Dengan aktivitinya riadah,hal ini akan membolehkan kita melakukan aktiviti yang kita gemar. Hal ini menjadi cara yang efektif untuk menghiburkan kita. Kita dapat melupakan beban yang ditanggung dan menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, wajarlah aktiviti riadah dipraktikkan dalam kehidupan kita untuk mengurangkan tekanan yang dialami.

            Sementelahan pula, melakukan aktiviti riadah turut memberi peluang kepada kita untuk mengeratkan hubungan antara keluarga mahupun taulan. Hal ini dapat menjadi medium ke arah pembentukan keluarga sakinah.Misalnya, pada hujung minggu, seisi keluarga boleh turun padang untuk melakukan aktiviti riadah bersama-sama sama ada di taman atau padang. Bukan itu sahaja, ahli keluarga boleh berkongsi pandangan ,pendapat dan masalah sepanjang masa mereka bersama-sama. Dengan itu,setiap ahli keluarga boleh memahami antara satu sama lain seterusnya merapatkan jurang antara mereka. Keseronokan melaukan aktiviti riadah juga akan lebih dinikmati dengan adanya orang yang disayangi di sisi kita. Dalam hal ini kita akan menjadi lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk melakukan aktiviti riadah. Oleh itu, hubungan kekeluargaan yang erat dapat dilahirkan dengan melakukan aktiviti riadah.

Selain itu,aktiviti beriadah juga dapat membentuk integrasi kaum. Marcapada ini,kita acap kali melihat pelbagai aktiviti riadah yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum khususnya aktiviti yang berkaitan dengan Program Latihan Khidmat Negara. Contohnya aktiviti berkayak,mendaki gunung dan meluncur. Kondusi ini akan memanifestasikan elemen kesepakatan dalam kumpulan masing-masing.  Sesungguhnya, muafakat merupakan inti kepada perpaduan.Setiap ahli akan bersatu ibarat kata peribahasa Melayu, serumpun bagai serai,selubang bagai tebu. Hal ini dapat menjadi medium yang efektif bagi menyatukan kaum sekali gus membina semangat perpaduan. Oleh hal yang demikian,aktiviti riadah yang melibatkan unsur kerjasama ibarat aur dan tebing dapat menjadi wahana ke arah pembentukan integrasi kaum.

            Dalam fasa itu, kebaikan aktiviti beriadah yang dapat dinikmati ialah mengelakkan remaja daripada terlibat dalam masalah sosial. Hal ini demikian kerana masa lapang remaja dapat diisi dengan aktiviti yang menghiburkan dan menyeronokkan kerana masa itu emas. Masa senggang seorang remaja agak banyak kerana tidak perlu menanggung tanggungjawab seperti orang dewasa.  Seandainya  masa lapang itu tidak dipenuhi secara bijaksana,remaja akan terjerumus untuk mendorong diri melakukan aktiviti yang kurang berfaedah seperti melepak,bermain komputer tanpa batasan dan berbual-bual kosong ibarat menghitung bulu kambing. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti riadah,mereka tidak akan melakukan aktiviti yang kurang berfaedah kerana telah merasai keseronokan aktiviti riadah, bak kata peribahasa Melayu sambil menyelam minum air. Oleh itu, remaja dapat menghindarkan daripada terlibat dalam masalah sosial dengan melakukan aktiviti riadah.

            Secara tuntas,kita perlu mencapai kesedaran yang tinggi dalam usaha mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi. Semua pihak perlu berganding bahu ibarat aur dengan tebing bagi menanamkan kesedaran dalam diri masyarakat mengenai kepentingan aktiviti riadah dan rekreasi dalam kehidupan seharian bagi melahirkan generasi masa hadapan yang sihat seterusnya menjadi penyumbang kepada kemajuan negara.


Disediakan oleh: Khairunnisak bt Hassni,Ida Nur Izzaty bt IKhwan Goh,Siti Hawa bt Mahfar dan Nur Baiti Bt Mohd.Aini (5 Sc 1)

08:44

Keluarga Impian Saya



Intitusi kekeluargaan yang sihat merupakan asas paling penting dalam melahirkan generasi masa hadapan yang lebih kreatif serta produktif. Keluarga boleh didefinisikan sebagai orang yang mempunyai pertalian darah dengan kita. Tanpa keluarga, kita pasti tidak boleh menjalani kehidupan yang bahagia. Ikatan kekeluargaan yang rapat dapat menjamin masa depan yang gemilang untuk anak-anak selain dapat membentuk peribadi dan rohani yang sempurna.
            Setiap orang pasti mempunyai impian untuk memiliki keluarga yang sempurna. Mengikut pendapat saya, keluarga impian yang diinginkan oleh semua orang sudah pastilah keluarga yang sentiasa menyokong serta memberi dorongan dalam setiap apa yang kita lakukan. Jika seseorang itu mendapat sokongan serta dorongan daripada keluarga mereka, sudah pasti perkara yang ingin dilakukan itu, dilaksanakan dengan penuh semangat. Hasil daripada kerja yang dilakukan dengan penuh semangat sudah pastilah berkualiti dan memuaskan hati pelbagai pihak. Sebagai contoh, sekiranya seorang anak itu ingin menyertai sesuatu pertandingan dan keluarganya memberi sokongan, sudah pastilah anak itu akan lebih yakin dan berkobar-kobar perasaannya untuk menyertai pertandingan itu. Daripada perasaan inilah, terjamin kejayaan akan tercapai. Sudah terang lagi bersuluh, keluarga yang memberi sokongan serta dorongan kepada ahli keluarga mereka, akan melahirkan generasi yang lebih bersemangat serta cenderung untuk menjuarai sesuatu perkara yang mereka lakukan.
             Selain itu, satu lagi aspek penting yang sentiasa diimpikan oleh orang ramai dalam keluarga mereka ialah keupayaan ahli keluarga itu untuk membimbing keluarga ke jalan yang menjanjikan kebahagiaan. Sebagai tunjang dalam keluarga, ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang paling besar dalam membimbing anak-anak mereka. Kadangkala, anak-anak akan tersilap langkah dalam hidup mereka dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk prihatin tentang anak mereka lalu mencari jalan untuk membimbing anak itu ke jalan yang benar semula. Sebagai contoh, sekiranya seseorang anak itu ingin menyertai pertandingan menari, ibu bapa perlulah mengimbangkan baik buruknya sesuatu perkara itu. Dalam hal ini, pertandingan menari itu mendatangkan lebih banyak keburukan kerana melalaikan serta menjanjikan impian yang tidak berharga kepada anak itu. Maka ibu bapa perlulah membimbing anak ini dengan cara memberi nasihat ataupun member pilihan untuk anak itu memilih minat yang lain. Sudah jelaslah bahawa keluarga impian ialah keluarga yang dapat memberi bimbingan kepada kita untuk tidak tersilap langkah dan kemudian tidak akan  menyesalinya di lain hari.

            Saya juga mengatakan bahawa keluarga yang memahami kita serta menyayangi kita seadanya kita merupakan salah satu lagi nilai yang perlu ada dalam sebuah keluarga impian. Penerimaan keluarga tentang diri kita sangatlah penting kerana penerimaan ini menunjukkan bahawa rasa kasih dan sayang dalam sesebuah keluarga itu wujud. Memang pasti, dalam sesebuah keluarga itu pasti ada ahlinya yang tidak digemari oleh ahli keluarga yang lain. Tetapi sekiranya keluarga ini mampu memahami dan menyayangi ahli keluarga mereka itu, sudah jelas bahawa rasa kasih dan sayang itu cukup kuat sehingga mengatasi kekurangan yang ada pada mereka. Sekiranya keluarga tidak menerima salah seorang ahli mereka itulah punca keretakan dalam rumah tangga. Sebagai contoh, sekiranya seseorang anak itu tidak disukai oleh adik-beradik yang lain, sudah pastilah anak ini akan menyendiri. Mereka yang suka menyendiri ini lebih mudah terpengaruh dengan pengaruh negatif rakan-rakan. Daripada keadaan inilah berlakunya banyak gejala yang tidak sihat sekarang ini semuanya berpunca daripada hubungan kekeluargaan yang pincang. Di sini jelas menunjukkan bahawa keluarga yang menerima segala baik buruknya ahli keluarga mereka serta menyayangi  mereka dengan sepenuh hati ialah keluarga impian semua orang. Walaupun ada yang tidak baik tentang ahli keluarga, tetapi perasaan kasih sayang yang kuat dalam ahli keluarga menjamin kebahagiaan hidup.

            Seterusnya, keluarga yang dapat memberikan kasih sayang yang sama rata antara ahli keluarga merupakan satu lagi ciri keluarga bahagia. Ibu bapa yang menyayangi anak-anak mereka secara sama rata dan tidak pilih kasih dapat menjamin kebahagiaan keluarga. Jika anak-anak merasakan kasih sayang yang sama rata maka perkara seperti anak yang memberontak tidak akan berlaku. Salah satu punca anak memberontak kepada ibu bapa ialah kerana mereka merasakan ketidakadilan yang berlaku apabila ibu bapa lebih menyayangi adik beradik mereka yang lain. Sebagai contoh, ibu bapa lebih menyayangi kakak yang sulung mungkin kerana kakak sulung lebih banyak membawa pulang kejayaan jika dibandingkan dengan adik beradik yang lain. Sepatutnya ibu bapa ini tidak mencurahkan kasih sayang berdasarkan kejayaan anak-anak mereka tetapi menyayangi anak-anak secara sama rata kerana ini dapat menjamin masa depan yang lebih bahagia. Sudah jelaslah bahawa keluarga impian ialah keluarga yang mampu menyayangi ahli keluarga mereka dengan kasih sayang yang adil.

            Akhir sekali, aspek yang semestinya dimiliki oleh keluarga impian ialah ketabahan ahli keluarga menghadapi musibah yang mendatang. Amatlah mustahil jika sesebuah keluarga tidak pernah menghadapi sebarang musibah. Apabila mengahadapi sesuatu musibah, kemampuan keluarga untuk mengatasi musibah itu menunjukkan tahap ketabahan dan pengorbanan yang diberikan. Sebuah keluarga impian perlulah mampu mengatasi musibah dengan tenang. Sebagai contoh, sekiranya terdapat ahli keluarga yang mengalami kecelakaan di jalan raya, ahli keluarga yang lain perlulah tabah dan sabar menghadapi dugaan daripada Tuhan. Setiap perkara yang menimpa diri kita pasti ada sebabnya. Kadangkala, perkara seperti kemalangan inilah yang merapatkan lagi ikatan kekeluargaan. Selain itu, keluarga juga perlulah bijak menyelesaikan konflik yang berlaku dalam rumah tangga. Contohnya, mungkin berlaku pergaduhan antara ahli keluarga yang menggugat ketenteraman institusi kekeluargaan. Kebijaksanaan ahli keluarga untuk menyelesaikan konflik ini amatlah penting supaya dapat mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. Walaubagaimanapun, seteruk mana pergaduhan dalam keluarga, air dicincang tidak akan putus. Sudah terang lagi bersuluh bahawa keluarga yang diimpikan semua orang, sudah pastilah mampu mengatasi musibah serta menyelesaikan konflik dengan bijak.

Tuntasnya, keluarga yang sempurna dapat menjamin masa depan diri yang lebih cerah. Keluarga yang diimpikan bukanlah sekadar impian sahaja malah kita perlu berusaha untuk merealisasikan impian tersebut. 

Oleh: Nuraina Sakina Zakri

08:39

Faedah Membaca Karya Sastera


Saidina Abu Bakar pernah berkata : Terdengar Saidina Abu Bakar akan ucapan Nabi Muhammad: Barangsiapa yang menuntut walau satu bab ilmu sahaja pun, nescaya Allah menjanjikannya sehelai selendang kemuliaan.

            Berdasarkan kata-kata di atas,jelaslah bahawa kita perlu menuntut ilmu. Untuk menuntut ilmu, kita perlu membaca. Frasa menuntut ilmu bukan mengongkong masyarakat kita dengan hanya membaca bahan-bahan berkaitan pendidikan dan pembelajaran bahkan juga berkaitan ilmu kehidupan sebagaimana yang terkandung dalam karya sastera yang terbahagi kepada beberapa genre seperti puisi, drama dan novel. Masyarakat kini acapkali mengatakan bahawa membaca adalah perkara yang membosankan dan hanya ulat buku yang membaca sehinggakan mereka yang membaca digelar, ‘budak skema’, ‘budak genius’, ‘si nerd’, dan sebagainya. Jangan salah sangka bahawa buku hanya tulisan semata-mata tanpa membawa apa-apa keindahan dan pengertian dalam kehidupan. Banyak faedah yang boleh diperoleh apabila kita membaca karya sastera.

            Antara faedah apabila kita membaca karya tersebut ialah kita akan memperoleh pelbagai pengajaran yang berguna. Pengajaran ini boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian bukan sahaja sehari, seminggu, sebulan atau setahun bahkan berdekad lamanya. Hal ini dapat dilihat sebagaimana yang terdapat dalam novel ‘Kabus di Perbukitan’ karya Muhammad Kholid Hamzah. Watak utama dalam novel ini, Faridah memaparkan ketabahan dan kegigihannya dalam mengharungi kehidupan yang fana ini. Dia tabah menghadapi kehilangan kembarnya, ibunya dan suaminya lantas meninggalkan dirinya keseorangan di dunia. Penghijrahannya ke New Zealand membuka lembaran baru buat dirinya dimana setiap kepayahan dan kesusahan yang dialaminya selama ini dibalas dengan kebahagiaan dan kegembiraan apabila bertemu dengan Saleh Johnsons dan telah dikurniakan dua cahaya mata. Daripada kegigihan dan ketabahan Faridah, dapat kita aplikasikan dalam menjalani kehidupan yang penuh onak dan duri demi sebuah kehidupan yang akhirnya bahagia. Oleh itu, benarlah bahawa membaca karya sastera memberikan banyak faedah.

            Selain itu, rasa kasih dan cinta akan bahasa ibunda kita juga dapat dipupuk apabila membaca karya-karya tersebut. Hal ini dapat dilihat dalam sajak ‘Dirgahayu Bahasaku’, dimana bahasa Melayu diagungkan dan ditinggikan martabatnya yang kini semakin hanyut ditelan arus kemodenan. Sajak ‘Dirgahayu Bahasaku’ melahirkan rasa bangga dalam diri pembaca yang bertutur dalam bahasa Melayu. Mereka yang bertutur dalam bahasa Melayu yang mantap bukan menunjukkan bahawa mereka skema atau ulat buku tetapi mereka menyayangi dan mencintai bahasa Melayu tanpa mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau bahasa lain sebagaimana yang dilakukan oleh anak muda kini. Oleh itu, jelaslah bahawa membaca karya sastera boleh memupuk rasa kasih dan cinta akan bahasa Melayu kerana sesungguhnya ‘takkan Melayu hilang di dunia’.

            Di samping itu, pembacaan karya sastera juga akan dapat melahirkan generasi yang bersemangat dan berani. Hal ini dapat dibuktikan apabila kita membaca drama ‘Gelanggang Tuk Wali’. Dalam drama ini, seni silat merupakan tradisi orang Melayu yang menjadi topik utama dalam perjalanan drama ini. Semangat anak muda dalam mendalami ilmu seni silat ini, menggambarkan betapa kukuh dan ampuhnya kekuatan seni ini sehingga dapat mengawal emosi dan pergerakan seorang pesilat meskipun dia telah dituduh membunuh dan kehilangan orang yang menjadi idolanya selama ini. Peristiwa ini dapat mewujudkan perasaan semangat dan berani dalam terus menjalani kehidupan yang penuh pancaroba meskipun pelbagai halangan dan rintangan terus kita hadapi. Jelaslah bahawa membaca karya sastera memberikan faedah yang baik dan hal ini perlu terus dipupuk agar rakyat negara ini terus berjaya kerana ‘bangsa membaca, bangsa berjaya’.

            Seterusnya, pembacaan karya sastera akan dapat memperluas perbendaharaan kata terutamanya pelajar sekolah. Hal ini dapat dilihat daripada puisi-puisi klasik yang kini diaplikasikan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu seperti ‘Syair Siti Sianah’, ‘ Seloka Si Luncai’, dan lain-lain lagi. Pelbagai perkataan-perkataan baru akan dapat diteroka oleh para pelajar daripada karya-karya ini dah dapat digunakan apabila menyertai pertandingan-pertandingan anjuran Panitia Bahasa dan Sastera sempena Minggu Bahasa yang akan dianjurkan oleh setiap sekolah di seluruh Negara. Pembacaan prosa tradisional juga novel akan menambahkan perbendaharaan kata kita selain puisi. Oleh itu, benarlah bahawa membaca karya sastera memberi faedah yang baik.
            Tambahan lagi, dengan pembacaan karya-karya sastera, pembaca akan dapat mengenali bakat-bakat penulis negara sekali gus turut mendorong pembaca untuk turut sama menulis justeru melahirkan masyarakat Malaysia yang berprinsip dan mempunyai falsafah hidup untuk terus berusaha demi menikmati kemanisan sebuah kejayaan. Hal ini dapat dilihat daripada kisah seorang penulis yang bernama Norhayati Berahim. Dulu, dia hanyalah seorang penulis yang menulis dan karyanya diterbitkan oleh syarikat lain. Kini, dia telah menulis dan menerbitkan sendiri karyanya. Norhayati Berahim juga turut menerbitkan hasil tulisan penulis muda tanah air. Hal ini akan memajukan lagi industri penulisan Negara lantas melahirkan sebuah negara yang celik ilmu di samping kemajuan dan kemodenan yang dimiliki. Oleh itu, jelaslah membaca karya sastera akan melahirkan insan yang berprinsip dan berjaya.

            Akhir sekali, pembaca akan dapat menimba pengalaman meskipun tidak mengalaminya sendiri. Hal ini dapat dilihat daripada novel-novel yang bertemakan persahabatan dan percintaan yang banyak di pasaran buku negara kini. Novel ini akan mengajar remaja terutamanya agar tidak salah pilih kawan dan memotivasikan mereka untuk terus berjaya dalam kehidupan sebagaimana yang terdapat dalam novel ‘Meniti Mimpi’ karya Pitteriah Abdullah. Novel ini mengisahkan pertemuan dua orang sahabat dan bersama-sama dalam mengharungi onak dan duri kehidupan hingga ke akhir hayat. Oleh itu, benarlah membaca karya sastera akan memberi pengalaman kepada pembaca.

            Kesimpulannya, pembacaan karya sastera bukanlah satu perkara yang membosankan sebaliknya membaca karya sastera adalah satu perkara yang mencabar dan memberi banyak faedah. Oleh itu, membacalah kerana segalanya ada dalam senaskah buku berbanding laman sesawang yang menjadi kegilaan remaja kini.

Oleh : Nurdiana binti Nordin

08:37

Kepentingan Memiliki Ilmu Pengetahuan


                                Bunga Melati di celah baju,
                                Baju diletak di tepi balai,
                                Rakyat berilmu negara maju,
                                Aset negara tidak ternilai .

          Nabi Muhammad pernah bersabda, tuntutlah ilmu sampai ke negerti China. Sabda junjungan besar umat Islam itu menerangkan kepentingan memiliki ilmu pengetahuan. Melalui ilmu pengetahuan, negara yang maju akan dapat dibina, bertepatan seperti serangkap pantun di atas. Namun, generasi masa ini yang menjadi aset negara begitu memandang enteng akan kepentingan ilmu. Mereka lebih gemar berfoya-foya dan menghabiskan usia muda dengan berseronok tanpa menyedari bahawa ilmu merupakan bekalan pada masa hadapan. Pernahkah anda mendengar slogan “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara?” Slogan ini memperlihatkan kepentingan generasi yang berilmu untuk mengemudi pelayaran negara menuju ke arah status negara maju. Jika pada suatu masa nanti generasi yang tidak berilmu mengambil alih tampuk pemerintahan negara, apakah yang akan terjadi kepada negara kita. Lebih parah dan menakutkan lagi, negara kita akan dijajah dan diancam negara lain, sekali lagi. Saya sebagai salah seorang remaja yang bakal memimpin negara atau mempersiapkan diri untuk menjadi generasi yang berilmu agar keharmonian, keselamatan, kemajuan dan kesejahteraan negara yang saya cintai ini dapat terus dinikmati. Persoalannya, apakah peranan yang boleh saya mainkan untuk menjadi generasi yang berilmu?
          Norman Vince Pale, seorang ahli falsafah Barat pernah berkata, masalah merupakan tanda kehidupan. Semakin banyak masalah dan cabaran yang kita hadapi, semakin hidup jiwa kita. Kata-kata falsafah itu menggambarkan bahawa terdapat pelbagai peranan yang boleh saya mainkan untuk mengatasi masalah generasi tidak berilmu.
          Antaranya, saya perlu banyak membaca bahan-bahan bacaan yang berilmiah untuk meluaskan pengetahuan saya, selain dapat mengisi masa senggang. Hal ini demikian kerana membaca jambatan ilmu. Seorang cendekiawan Barat, Mendelir Salamander pernah mengatakan bahawa buku merupakan wahana paling baik untuk seseorang itu menambahkan ilmu pengetahuannya. Sebagai contoh, terdapat pelbagai jenis bahan yang sesuai dijaikan meium penambah ilmu seperti majalah, ensiklopedia dan bahan-bahan bacaan fiksyen. Antara contoh bahan bacaan yang berilmiah adalah seperti Dewan Siswa, Dewan Masyarakat, Tunas Cipta, Ensiklopedia Sains Jacaranda dan sebagainya. Contohnya, Ensiklopeia Sains Jacaranda dapat menambahkan ilmu tentang fenomena-fenomena sains yang berlaku di sekeliling kita. Selain itu, novel Zahrah de Tigris karya Khairyn Othman dapat memberi kita sedikit gambaran tentang kehidupan seorang sukarelawan yang berkhidmat di negara bergolak, Palestin. Jelaslah di sini bahawa salah satu peranan saya untuk menjadi generasi yang berilmu adalah memperbanyakkan aktiviti bacaan.
          Selain itu, saya juga berperanan untuk mengunjungi pesta buku dan perpustakaan demi mempersiapkan diri untuk menjadi generasi yang berilmu. Jika mengimbas kembali statistik yang pernah didedahkan Perpustakaan Negara Malaysia bahawa masyarakat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun,  sudah terang lagi bersuluh bahawa masyarakat Malaysia begitu kurang membaca, sekaligus kurang berilmu. Pihak kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah ini, iaitu dengan menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa yang diadakan pada bulan April saban tahun dan bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra. Terdapat pelbagai jenis buku yang dipamerkan dan dijual di situ. Saya tidak melepaskan kesempatan ini untuk berkunjung ke sana dan membeli beberapa buah buku, sekaligus menambah koleksi bahan bacaan saya. Saya juga akan sentiasa berkunjung ke perpustakaan kerana perpustakaan adalah gedung ilmu. Sudah terang lagi bersuluh bahawa mengunjungi pesta buku dan perpustakaan dapat membantu saya menjadi generasi yang berilmu.
          Seterusnya, saya juga akan menggunakan kemudahan jalur lebar seperti Internet untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Umum mengetahui bahawa kemudahan seperti Internet lebih membawa kepada keburukan daripada kebaikan. Namun, saya sebagai generasi yanng bertamadun dan berwawasan akan menggunakan Internet untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Melalui Internet, saya akan dapat mengetahui fenomena-fenomena alam, binaan-binaan yang menakjubkan seperti piramid di Mesir dan melihat telatah dan cara kehidupan pelbagai jenis haiwan. Remaja masa ini telah melakukan pembaziran tenaga elektrik dan masa dengan menyalahgunakan kemuahan Internet untuk menonton filem-filem porno dan menghabiskan terlalu banyak masa di laman sosial. Alangkah beruntungnya jika masa yang diperuntukkan untuk bersembang di laman sosial digunakan untuk mencari ilmu. Tepuk dada tanya selera.
          Di samping itu, saya akan menyediakan sudut bacaan di bilik saya untuk memudahkan aktiviti bacaan saya tanpa sebarang gangguan. Semua bahan bacaan saya akan diasingkan mengikut kategori seperti majalah, novel dan ensiklopedia. Oleh itu, proses untuk menjadi generasi yang berilmu akan berjalan lancar an saya bebas untuk membaca dan meningkatkan ilmu. Jika para remaja lain lebih gemar menghias bilik mereka dengan poster artis pujaan, saya akan menghias bilik saya dengan buku-buku bertepatan seperti slogan yang dilaung-laungkan pihak Kementerian Pelajaran malaysia, “Kawanku Buku.”
          Selain itu, saya juga akan menghadiri ceramah atau bengkel-bengkel yang dapat membantu saya memperkaya ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana, saya dapat menambah pengalaman selain menambah ilmu. Sebagai contoh, Kem Sahabat Alam yang dianjurkan oleh majalah Anis telah mendidik saya agar mencintai alam sekitar selain dapat menambahkan ilmu tentang spesies-spesies pokok yang mewarnai hutan kita. Selain itu, ceramah yang dianjurkan oleh pihak Hospital Pakar Sultanah Fatimah yang diadakan pada setiap hari Ahad telah menambahkan  ilmu saya tentang kesihatan tubuh badan manusia. Sesungguhnya, dengan menghadiri ceramah dan bengkel-bengkel yang dianjurkan oleh pelbagai pihak, saya dapat mempersiapkan diri untuk menjadi generasi yang berilmu.
          Akhirulkalam, terdapat pelbagai peranan yang boleh saya mainkan untuk menjadi generasi yang berilmu. Saya berharap agar usaha-usaha tersebut dapat membantu saya menjadi generasi yang berilmu dan berwawasan demi menjadi pemimpin negara yang cemerlang dan mengemudi pelayaran negara ke arah status negara maju.

                                                                             Farha Wahidah bt Bahruddin
                                                                                      5 Sains 1/ 2011

08:33

Kepentingan Menyambut Hari Kemerdekaan


Tanah air kita merupakan salah sebuah negara yang kian pesat membangun di rantau Asia. Pembangunan dari aspek ekonomi, politik dan sosial telah mula bercambah sejak sebelum mencapai kemerdekaan lagi. Segala-galanya bermula daripada pengorbanan para pejuang negara yang sanggup bermati-matian demi mencapai kemerdekaan untuk nusa tercinta. Pengorbanan mereka mestilah dikenang dan dihargai oleh generasi masa ini. Saban tahun, pihak kerajaan mengeluarkan sejumlah besar wang sebagai persiapan menyambut hari kemerdekaan. Persoalannya, apakah kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita?
            Salah satu kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita ialah  kita dapat mengenang jasa tokoh yang telah berkorban demi mencapai kemerdekaan untuk tanah air. Antara tokoh yang begitu berjasa kepada negara ialah Tunku Abdul Rahman, Rosli Dhobi, Rentap, Kanang dan sebagainya. Mereka rela berputih tulang daripada berputih mata melihat tanah air tempat tumpah darah mereka dijajah oleh kuasa asing sepertti British dan Jepun. Mereka juga sanggup menggadai nyawa demi membayar harga sebuah kemerdekaan. Jelaslah di sini bahawa kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita adalah untuk mengenang jasa tokoh.
            Selain itu, menyambut hari kemerdekaan adalah penting agar kita dapat mengukuhkan jati diri rakyat Malaysia. Sejak akhir-akhir ini, generasi muda masa ini, terutamanya remaja semakin hilang jati diri. Mereka lebih gemar mengagung-agungkan budaya Barat yang amat bertentangan sekali dengan norma masyarakat Timur. Lebih menyedihkan, ada antara kita yang sanggup memburukkan nama Malaysia di mata dunia. Jika diimbas kembali sejarah yang lepas, rakyat Indonesia telah memburukkan nama Malaysia di negara Asia dan negara Dunia Ketiga lantaran tidak berpuas hati apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1965. Kini, rakyat negara kita pula mencemarkan nama negara di persada dunia. Ke manakah hilangnya jati diri sebagai rakyat Malaysia? Tepuk dada tanya selera. Sudah terang lagi bersuluh bahawa menyambut hari kemerdekaan merupakan salah satu medium untuk mengukuhkan jati diri.
            Seterusnya melalui sambutan hari kemerdekaan, kita dapat mengekalkan perpaduan antara kaum di negara kita. Umum mengetahui bahawa Melayu, Cina dan India merupakan kaum majoriti di negara kita selain kaum Dusun, Kadazan, Bidayuh, Melanau yang menjadi kaum minoriti. Negara yang harmoni dan sejahtera hanya akan dapat dibentuk jika semua kaum ini dapat bersatu padu, bekerjasama dan bertoleransi. Melalui sambutan hari kemerdekaan, semua kaum dapat berkumpul bagi meraikan hari kemerdekaan negara yang kita cintai ini. Masyarakat berbilang kaum yang saling menyayangi, saling menghormati dan saling bekerjasama merupakan pemandangan paling indah untuk dipertontonkan kepada masyarakat di luar negara. Jelaslah di sini bahawa sambutan hari kemerdekaan dapat mengekalkan perpaduan antara kaum.


            Di samping itu, melalui sambutan hari kemerdekaan, imej negara kita akan turut meningkat. Negara-negara asing akan mengenali Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan sejahtera, Secara tidak langsung, lebih ramai pelancong asing ingin berkunjung ke negara kita serta lebih ramai pelabur asing ingin melabur di negara kita. Hal ini dapat membantu meningkatkan sumber pendapatan negara sekaligus menjana ekonomi negara.
            Konklusinya, sebagai rakyat Malaysia yang amat sayang akan negara, kit perlulah bersungguh-sungguh meraikan hari kemerdekaan di negara. Jadikanlah perak saudara, pergolakan, dan peperangan yang berlaku di sesetengah negara sebagai pengajaran. Tokoh sejarah terkenal, George Santayana pernah berkata, “sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya semula,” Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah menghargai nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini.

08:30

Ciri-ciri Remaja Berwawasan




Dalam menempuh milenium yang sarat dengan cabaran reformasi ini ciri-ciri remaja yang kamil dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul amat penting untuk membangunkan negara. Malahan, darah setampuk pinang inilah yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara.
            Berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Hal ini demikian kerana akhlak yang luhur, datang dari hati yang bersih. Remaja yang berakhlak mulia akan suka didampingi malah akan meraih rasa hormat daripada orang sekeliling. Remaja yang berakhlak mulia pasti tidak akan terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata serta berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja-remaja yang bermasalah. Taat pada agama sudah pasti dapat melahirkan individu yang berakhlak mulia kerana semua agama di dunia menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Secara tidak langsung, remaja yang mempunyai sikap mahmudah dapat dilahirkan seterusnya dapat menjadi seorang insane yang kamil. Remaja yang berakhlak mulia juga sudah pasti dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, yang mana kaca, yang mana permata, bak kata peribahasa yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Jelaslah bahawa berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.
            Selain itu, remaja berwawasan sudah pasti mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi. Remaja yang berwawasan pasti akan berusaha untuk mencari ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu. Pepatah ada juga mengatakan ‘carilah ilmu sehingga ke negeri China’ kerana ilmu yang ada hanya setitik daripada selautan. Malahan, Albert Einstein juga pernah berkata ‘semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui’. Dengan melahirkan remaja yang berilmu pengetahuan, anak muda ini tidak akan mudah ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta akan sentiasa dihormati dan disanjung oleh masyarakat sekeliling. Jelaslah bahawa, remaja yang berilmu pengetahuan juga merupakan ciri yang vital dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
            Di samping itu, remaja yang berwawasan juga akan sentiasa gigih untuk menggapai gamitan menara impian. Sudah tentulah budaya pesimistik dan culas dikikis serta dibuang jauh untuk mencapai kejayaan walau seruwet manapun yang diamalkan oleh remaja berwawasan ini. Secara langsung, remaja berwawasan akan gigih berusaha menggunakan setiap detik dan waktu agar diisi dengan perkara yang bermanfaat  dan berfaedah kerana masa itu emas. Selain itu, masa yang pergi tidak mungkin akan kembali. Oleh itu, remaja yang berwawasan akan memastikan setiap masa yang terluang diisi dengan perkara yang mendatangkan maslahat seperti menelaah buku, beriadah atau melakukan ibadah kerana cendekiawan ada mengatakan masa ibarat pedang,sekiranya kita leka mata pedang itu akan  memenggal kita. Jelaslah bahawa, gigih berusaha merupakan ciri yang signifikan dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
            Sementelahan itu, bersemangat patriotik juga merupakan ciri remaja berwawasan. Remaja yang berwawasan akan berusaha menjaga nama baik negara serta memerah keringat untuk menaikkan nama negara. Remaja yang berwawasan juga akan mengekalkan perpaduan negara yang sudah sedia terjalin ukhuwah sesama manusia mahupun berlainan bangsa dan agama demi menyahut seruan ‘Satu Malaysia’ yang diuar-uarkan oleh Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak. Terbuktilah bahawa, remaja yang berwawasan akan mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
            Tuntasnya, semua pihak haruslah bergabung tenaga melahirkan remaja yang berwawasan agar Malaysia akan terus maju dan terkenal di seluruh pojok dunia pada masa hadapan.
                                                                                                      (496 patah perkataan)

Penskoran :                        
Peringkat  :  Cemerlang
Markah dicadangkan  :   26 -27
Komen :
            Takrif
 menepati tugasan.
            Idea
 relevan dan dihuraikan dengan baik berserta contoh yang sesuai.
         Bahasa
 gramatis, berkesan dan bervariasi.

                                                                                                  

18:08

Contoh Perenggan 4 unsur

               Contoh  Perenggan 4 unsur            
                 Soalan:  Kepentingan membaca kepada masyarakat
1.      Mengisi masa lapang
           Antara kepentingan membaca kepada masyarakat ialah dapat mengisi masa lapang. Pada era globalisasi ini,masyarakat sanggup menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti yang merosakkan akhlak. Sebagai contoh,mereka melepak,ponteng sekolah,menghisap dadah,merokok dan berlumba haram.Seseorang yang gemar  membaca akan menggunakan masa senggang dengan berfaedah,bertepatan dengan peribahasa,masa itu emas. Mereka dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam kemelut sosial yang mendatangkan impak negatif kepada mereka. Oleh itu,aktiviti membaca dapat mengisi masa lapang seseorang.(80 patah perkataan)
(Kumpulan 2: Low Je Ssy,Neo Shun Tze,Ler Xiu Min,Ng Shi Hann,Lim Shih
Sien,Joanne Ong)

2.      Meluaskan pengetahuan
         Ilmu merupakan harta kita yang kekal dan pepatah ini menggambarkan kepentingan ilmu pengetahuan sebagai aset yang harus diamalkan dalam kamus kehidupan masyarakat. Masyarakat hari ini mestilah mengamalkan budaya membaca kerana membaca merupakan wadah untuk meluaskan ilmu pengetahuan. Tidak dapat dinafikan bahawa ilmu diibaratkan seperti lautan yang luas dan tiada sempadan.Hal ini bertepatan dengan kata-kata Albert Einstein yang mengatakan bahawa,semakin banyak ilmu yang kita pelajari,semakin banyak perkara yang kita tidak ketahui. Membaca juga mampu menjadi medium yang berkesan untuk meluaskan pengetahuan masyarakat. Sebagai contoh,masyarakat yang mengamalkan budaya membaca,tidak akan mudah terpedaya dengan segala tipu helah manusia yang disajikan di hadapan mereka. Berbekalkan ilmu pengetahuan yang mantap,masyarakat akan menjadi lebih rasional  dalam membuat sebarang keputusan. Oleh hal yang demikian,pembacaan yang berkesan dapat meningkatkan serta meluaskan pengetahuan masyarakat pada zaman milenium ini.( 145 patah perkataan)
(Kumpulan 5: Nur Hazira,Siti Hani,Sunita,Tan Yen Yee,Nur Ain,Hafiyyan,Khairiyah)

3.      Meningkatkan penguasaan bahasa
         Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut,amalan membaca dapat meningkatkan penguasaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Selaras dengan slogan,,”Bahasa Jiwa Bangsa”,kita perlu memartabatkan dan memelihara kedaulatan bahasa kebangsaan negara kita. Aktiviti membaca membolehkan seseorang itu meningkatkan penguasaan tatabahasa dan mengelakkan kesilapan semasa berkomunikasi. Sebagai contoh,ruangan ”Cintailah Bahasa Kita” oleh Munsyi Dewan dalam Majalah Dewan Siswa dapat membantu pembaca menguasai Bahasa Melayu dengan baik dan seterusnya dapat menyemai benih-benih cinta terhadap Bahasa Kebangsaan kita. Oleh hal yang demikian,sudah terang lagi bersuluh bahawa membaca dapat meningkatkan penguasaan bahasa masyarakat.(74 patah perkataan)
(Kumpulan 3: Saranya a/p Asojan,Nurul Aqilah Mohd Nor,Shalini a/p Paniselvam,Chua Si Min,Nurul Najihah Zainudin,Ida Nerina bt Yahya)

4.          Meningkatkan keyakinan diri 
      Melihat daripada perspektif lain,membaca mampu meningkatkan keyakinan diri. Melalui bacaan ilmiah,seseorang berupaya mengeluarkan buah fikiran yang bernas serta berhujah dengan petah. Pepatah Inggeris ada mengatakan bahawa, membaca sebuah buku yang bererti adalah lebih baik daripada membaca 50 buah buku yang tidak bererti. Sebagai contoh,seseorang pemidato itu mampu berbicara di khalayak ramai dengan penuh keyakinan sekiranya pemidato itu banyak membaca. Sudah terang lagi bersuluh, budaya membaca yang dipelopori oleh penduduk negara matahari terbit mampu meningkatkan keyakinan diri seseorang justeru melahirkan masyarakat utopia di dalamnya. ( 86 patah perkataan )
( Kumpulan 1 : Ain Zulaikha, Nurul Afiqah, Nur Hafiza, Nur Adilah, Naqiah hayani ,Quek Wan Ting )