Tanah
air kita merupakan salah sebuah negara yang kian pesat membangun di rantau
Asia. Pembangunan dari aspek ekonomi, politik dan sosial telah mula bercambah
sejak sebelum mencapai kemerdekaan lagi. Segala-galanya bermula daripada pengorbanan para pejuang negara yang
sanggup bermati-matian demi mencapai kemerdekaan untuk nusa tercinta.
Pengorbanan mereka mestilah dikenang dan dihargai oleh generasi masa ini. Saban
tahun, pihak kerajaan mengeluarkan sejumlah besar wang sebagai persiapan
menyambut hari kemerdekaan. Persoalannya, apakah kepentingan menyambut hari
kemerdekaan di negara kita?
Salah
satu kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita ialah kita dapat mengenang jasa tokoh yang telah
berkorban demi mencapai kemerdekaan untuk tanah air. Antara tokoh yang begitu
berjasa kepada negara ialah Tunku Abdul Rahman, Rosli Dhobi, Rentap, Kanang dan
sebagainya. Mereka rela berputih tulang daripada berputih mata melihat tanah
air tempat tumpah darah mereka dijajah oleh kuasa asing sepertti British dan
Jepun. Mereka juga sanggup menggadai nyawa demi membayar harga sebuah
kemerdekaan. Jelaslah di sini bahawa kepentingan menyambut hari kemerdekaan di
negara kita adalah untuk mengenang jasa tokoh.
Selain
itu, menyambut hari kemerdekaan adalah penting agar kita dapat mengukuhkan jati
diri rakyat Malaysia. Sejak akhir-akhir ini, generasi muda masa ini,
terutamanya remaja semakin hilang jati diri. Mereka lebih gemar mengagung-agungkan
budaya Barat yang amat bertentangan sekali dengan norma masyarakat Timur. Lebih
menyedihkan, ada antara kita yang sanggup memburukkan nama Malaysia di mata
dunia. Jika diimbas kembali sejarah yang lepas, rakyat Indonesia telah
memburukkan nama Malaysia di negara Asia dan negara Dunia Ketiga lantaran tidak
berpuas hati apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia pada
tahun 1965. Kini, rakyat negara kita pula mencemarkan nama negara di persada
dunia. Ke manakah hilangnya jati diri sebagai rakyat Malaysia? Tepuk dada tanya
selera. Sudah terang lagi bersuluh bahawa menyambut hari kemerdekaan merupakan
salah satu medium untuk mengukuhkan jati diri.
Seterusnya
melalui sambutan hari kemerdekaan, kita dapat mengekalkan perpaduan antara kaum
di negara kita. Umum mengetahui bahawa Melayu, Cina dan India merupakan kaum
majoriti di negara kita selain kaum Dusun, Kadazan, Bidayuh, Melanau yang
menjadi kaum minoriti. Negara yang harmoni dan sejahtera hanya akan dapat
dibentuk jika semua kaum ini dapat bersatu padu, bekerjasama dan bertoleransi.
Melalui sambutan hari kemerdekaan, semua kaum dapat berkumpul bagi meraikan
hari kemerdekaan negara yang kita cintai ini. Masyarakat berbilang kaum yang
saling menyayangi, saling menghormati dan saling bekerjasama merupakan
pemandangan paling indah untuk dipertontonkan kepada masyarakat di luar negara.
Jelaslah di sini bahawa sambutan hari kemerdekaan dapat mengekalkan perpaduan
antara kaum.
Di
samping itu, melalui sambutan hari kemerdekaan, imej negara kita akan turut
meningkat. Negara-negara asing akan mengenali Malaysia sebagai sebuah negara
yang aman, harmoni dan sejahtera, Secara tidak langsung, lebih ramai pelancong
asing ingin berkunjung ke negara kita serta lebih ramai pelabur asing ingin
melabur di negara kita. Hal ini dapat membantu meningkatkan sumber pendapatan
negara sekaligus menjana ekonomi negara.
Konklusinya,
sebagai rakyat Malaysia yang amat sayang akan negara, kit perlulah
bersungguh-sungguh meraikan hari kemerdekaan di negara. Jadikanlah perak
saudara, pergolakan, dan peperangan yang berlaku di sesetengah negara sebagai
pengajaran. Tokoh sejarah terkenal, George Santayana pernah berkata, “sesiapa
yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya semula,” Oleh itu, kita sebagai
rakyat Malaysia perlulah menghargai nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini.
5 comments:
ada lagi tak isi lain selain isi di atas
ASALAMUALAIKUM SAYA MOHON UNTUK COPY DAN PASTE YA
khj
Baik
Post a Comment