Intitusi
kekeluargaan yang sihat merupakan asas paling penting dalam melahirkan generasi
masa hadapan yang lebih kreatif serta produktif. Keluarga boleh didefinisikan
sebagai orang yang mempunyai pertalian darah dengan kita. Tanpa keluarga, kita
pasti tidak boleh menjalani kehidupan yang bahagia. Ikatan kekeluargaan yang
rapat dapat menjamin masa depan yang gemilang untuk anak-anak selain dapat
membentuk peribadi dan rohani yang sempurna.
Setiap orang pasti mempunyai impian
untuk memiliki keluarga yang sempurna. Mengikut pendapat saya, keluarga impian
yang diinginkan oleh semua orang sudah pastilah keluarga yang sentiasa
menyokong serta memberi dorongan dalam setiap apa yang kita lakukan. Jika
seseorang itu mendapat sokongan serta dorongan daripada keluarga mereka, sudah
pasti perkara yang ingin dilakukan itu, dilaksanakan dengan penuh semangat.
Hasil daripada kerja yang dilakukan dengan penuh semangat sudah pastilah
berkualiti dan memuaskan hati pelbagai pihak. Sebagai contoh, sekiranya seorang
anak itu ingin menyertai sesuatu pertandingan dan keluarganya memberi sokongan,
sudah pastilah anak itu akan lebih yakin dan berkobar-kobar perasaannya untuk
menyertai pertandingan itu. Daripada perasaan inilah, terjamin kejayaan akan
tercapai. Sudah terang lagi bersuluh, keluarga yang memberi sokongan serta
dorongan kepada ahli keluarga mereka, akan melahirkan generasi yang lebih
bersemangat serta cenderung untuk menjuarai sesuatu perkara yang mereka
lakukan.
Selain itu, satu lagi aspek penting yang
sentiasa diimpikan oleh orang ramai dalam keluarga mereka ialah keupayaan ahli
keluarga itu untuk membimbing keluarga ke jalan yang menjanjikan kebahagiaan.
Sebagai tunjang dalam keluarga, ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang paling
besar dalam membimbing anak-anak mereka. Kadangkala, anak-anak akan tersilap
langkah dalam hidup mereka dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk prihatin
tentang anak mereka lalu mencari jalan untuk membimbing anak itu ke jalan yang
benar semula. Sebagai contoh, sekiranya seseorang anak itu ingin menyertai
pertandingan menari, ibu bapa perlulah mengimbangkan baik buruknya sesuatu
perkara itu. Dalam hal ini, pertandingan menari itu mendatangkan lebih banyak
keburukan kerana melalaikan serta menjanjikan impian yang tidak berharga kepada
anak itu. Maka ibu bapa perlulah membimbing anak ini dengan cara memberi
nasihat ataupun member pilihan untuk anak itu memilih minat yang lain. Sudah
jelaslah bahawa keluarga impian ialah keluarga yang dapat memberi bimbingan
kepada kita untuk tidak tersilap langkah dan kemudian tidak akan menyesalinya di lain hari.
Saya juga mengatakan bahawa keluarga
yang memahami kita serta menyayangi kita seadanya kita merupakan salah satu
lagi nilai yang perlu ada dalam sebuah keluarga impian. Penerimaan keluarga
tentang diri kita sangatlah penting kerana penerimaan ini menunjukkan bahawa
rasa kasih dan sayang dalam sesebuah keluarga itu wujud. Memang pasti, dalam
sesebuah keluarga itu pasti ada ahlinya yang tidak digemari oleh ahli keluarga
yang lain. Tetapi sekiranya keluarga ini mampu memahami dan menyayangi ahli
keluarga mereka itu, sudah jelas bahawa rasa kasih dan sayang itu cukup kuat
sehingga mengatasi kekurangan yang ada pada mereka. Sekiranya keluarga tidak menerima
salah seorang ahli mereka itulah punca keretakan dalam rumah tangga. Sebagai
contoh, sekiranya seseorang anak itu tidak disukai oleh adik-beradik yang lain,
sudah pastilah anak ini akan menyendiri. Mereka yang suka menyendiri ini lebih
mudah terpengaruh dengan pengaruh negatif rakan-rakan. Daripada keadaan inilah
berlakunya banyak gejala yang tidak sihat sekarang ini semuanya berpunca
daripada hubungan kekeluargaan yang pincang. Di sini jelas menunjukkan bahawa
keluarga yang menerima segala baik buruknya ahli keluarga mereka serta
menyayangi mereka dengan sepenuh hati
ialah keluarga impian semua orang. Walaupun ada yang tidak baik tentang ahli
keluarga, tetapi perasaan kasih sayang yang kuat dalam ahli keluarga menjamin
kebahagiaan hidup.
Seterusnya, keluarga yang dapat
memberikan kasih sayang yang sama rata antara ahli keluarga merupakan satu lagi
ciri keluarga bahagia. Ibu bapa yang menyayangi anak-anak mereka secara sama
rata dan tidak pilih kasih dapat menjamin kebahagiaan keluarga. Jika anak-anak merasakan
kasih sayang yang sama rata maka perkara seperti anak yang memberontak tidak
akan berlaku. Salah satu punca anak memberontak kepada ibu bapa ialah kerana
mereka merasakan ketidakadilan yang berlaku apabila ibu bapa lebih menyayangi
adik beradik mereka yang lain. Sebagai contoh, ibu bapa lebih menyayangi kakak
yang sulung mungkin kerana kakak sulung lebih banyak membawa pulang kejayaan
jika dibandingkan dengan adik beradik yang lain. Sepatutnya ibu bapa ini tidak
mencurahkan kasih sayang berdasarkan kejayaan anak-anak mereka tetapi
menyayangi anak-anak secara sama rata kerana ini dapat menjamin masa depan yang
lebih bahagia. Sudah jelaslah bahawa keluarga impian ialah keluarga yang mampu
menyayangi ahli keluarga mereka dengan kasih sayang yang adil.
Akhir sekali, aspek yang semestinya
dimiliki oleh keluarga impian ialah ketabahan ahli keluarga menghadapi musibah
yang mendatang. Amatlah mustahil jika sesebuah keluarga tidak pernah menghadapi
sebarang musibah. Apabila mengahadapi sesuatu musibah, kemampuan keluarga untuk
mengatasi musibah itu menunjukkan tahap ketabahan dan pengorbanan yang
diberikan. Sebuah keluarga impian perlulah mampu mengatasi musibah dengan
tenang. Sebagai contoh, sekiranya terdapat ahli keluarga yang mengalami
kecelakaan di jalan raya, ahli keluarga yang lain perlulah tabah dan sabar
menghadapi dugaan daripada Tuhan. Setiap perkara yang menimpa diri kita pasti
ada sebabnya. Kadangkala, perkara seperti kemalangan inilah yang merapatkan
lagi ikatan kekeluargaan. Selain itu, keluarga juga perlulah bijak
menyelesaikan konflik yang berlaku dalam rumah tangga. Contohnya, mungkin
berlaku pergaduhan antara ahli keluarga yang menggugat ketenteraman institusi kekeluargaan.
Kebijaksanaan ahli keluarga untuk menyelesaikan konflik ini amatlah penting
supaya dapat mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. Walaubagaimanapun, seteruk
mana pergaduhan dalam keluarga, air dicincang tidak akan putus. Sudah terang
lagi bersuluh bahawa keluarga yang diimpikan semua orang, sudah pastilah mampu
mengatasi musibah serta menyelesaikan konflik dengan bijak.
Tuntasnya, keluarga yang sempurna dapat menjamin masa
depan diri yang lebih cerah. Keluarga yang diimpikan bukanlah sekadar impian
sahaja malah kita perlu berusaha untuk merealisasikan impian tersebut.
Oleh: Nuraina Sakina Zakri
1 comments:
I can use for my SPM test
Post a Comment